SELAIN kehadiran pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini, kelibat prospek dari skuad simpanan juga berpotensi menjadi taruhan pasukan Liga Super terutama jika kelab terbabit ingin memberi peluang banyak kepada ubi muda untuk bersinar.
Musim lalu, pasukan seperti Perak FC dan Kelantan FC menjadi dua kelab utama yang mempertaruhkan bakat muda untuk beraksi di divisyen tertinggi Liga Malaysia (Liga M) dan tindakan berkenaan disambut baik oleh para penyokong.
Selain dua kelab berkenaan, kejohanan Piala MFL juga turut menjadi medan para pemain khususnya tonggak Bawah 23 (B-23) tahun mendapatkan peluang bermain dan sebagai platform menembusi skuad utama pasukan.
Misalnya, pemain seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Muslihuddin Atiq dari Terengganu FC (TFC) dan bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT); Aysar Hadi, Daryl Sham dan Adam Farhan sudah menembusi pasukan utama masing-masing pada musim lepas.
Dengan peluang beraksi pada saingan Piala MFL, pastinya sudah ada beberapa pemain dari skuad simpanan sudah berada dalam perancangan pasukan utama untuk beraksi di saingan Liga Super.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain dari skuad simpanan Piala MFL yang berpotensi menembusi pasukan utama pada saingan baharu musim ini.
BACA LAGI: Sedar Oman pasukan handal, Pan-gon tagih doa penyokong Harimau Malaya dari jauh
1) Fergus Tierney
Tierney (tiga dari kiri) ketika beraksi bersama JDT III dalam aksi final kedua Piala Presiden. — Facebook/JDT
Antara salah seorang bintang dalam skuad JDT II sekarang, Fergus Tierney dilihat mempunyai potensi untuk menjadi jeneral tengah negara mahupun sebagai penyerang di Piala Asia yang seterusnya.
Tonggak versatil berkenaan sudah mula menarik perhatian para penyokong sejak bersama JDT II pada musim 2022 dan secara perlahan-lahan, Tierney berhasil memikat barisan kejurulatihan B-23 untuk menurunkannya secara kerap.
Meskipun tidak mencetak sebarang gol dan hantaran bantuan dalam 17 penampilan bersama pasukan simpanan Harimau Selatan namun pemain 21 tahun berkenaan lebih menyerlah bersama pasukan muda kebangsaan.
Malah, nama pemain kelahiran Glasgow, United Kingdom itu juga tersenarai ke kem latihan pusat pasukan B-23 tahun bagi saingan Piala Asia B-24 di Qatar pada pada 15 April hingga 3 Mei 2024 ini.
Sekiranya Tierney cemerlang membantu bahagian tengah dan serangan pasukan B-23, tidak mustahil khidmatnya akan dirisik oleh ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio.
2) Nazul Izamil Zulkifli
Antara aksi Nazul Izamil dalam saingan Piala MFL musim ini. — Facebook/TFCII
Penjaga gol TFC II, Nazul Izamil Zulkifli mempunyai masa depan yang cerah untuk mendapatkan slot ke skuad utama Terengganu selepas menampilkan persembahan cemerlang menjaga gawang pasukannya pada saingan Piala MFL musim ini.
Pemain berusia 21 tahun itu mula menyertai TFC II selepas menimba pengalaman bersama pasukan bawah 19 tahun Sri Pahang FC dan merupakan antara watak utama ketika saingan Piala Belia 2022 yang menyaksikan skuad belia Tok Gajah tewas agregat 2-1 di tangan Selangor.
Penjaga gawang yang mempunyai ketinggian 1.93 meter itu diberi kepercayaan oleh jurulatih TFC II, Hairuddin Omar untuk menjadi kubu terakhir Terengganu dalam 18 perlawanan Piala MFL musim ini.
Dengan prestasi penjaga gol kedua skuad utama, Rahadiazli Rahalim yang sering mendapat kritikan kerana membuat kesilapan mudah, pasti membuka mata Tomislav Steinbruckner untuk mencuba khidmat prospek tersebut.
BACA LAGI: Kisah seperti bintang The Magpies, import baharu TFC dedah cerita sedih pilih nombor jersi 60
3) Lokman Bah Din
Persembahan Lokman sewaktu sesi pramusim 2023 mendapat pujian daripada penyokong Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang
Penyerang muda Sri Pahang FC, Lokman Bah Din menjadi sebutan ramai apabila sah menyertai skuad Tok Gajah untuk musim 2023 dan mula mencuri tumpuan ketika aksi pramusim pada tahun lepas.
Pemain berasal dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis, Pahang itu melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama orang asli yang menyertai skuad Tok Gajah.
Penyerang muda berusia 21 tahun itu sebelum ini menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN pada 2021, selain pernah bersama skuad Piala Presiden Pahang.
Sepanjang beraksi bersama skuad simpanan Tok Gajah, Lokman tampil dalam 18 perlawanan dengan merekodkan tiga jaringan gol sepanjang musim berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram