
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan keputusan kerajaan untuk menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 2026.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KBS memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat oleh Kabinet selepas meneliti perkara itu dari semua aspek termasuk kos dan implikasi lain.
Delegasi dari CGF sudah melaksanakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah pada 5 Februari 2024.
"Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.
"Antara lain diutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) yang dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.
"Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini," kata KBS.
BACA LAGI: Pemain akademi Jerman dipanggil Juan Torres tapi fans idam permata Perak dapat peluang ke skuad B-23
Malaysia meraih tempat keempat pada Sukan Komanwel 1998.
BACA LAGI: ‘Kami dari masa depan’, belum turun padang tapi ramai ramal import Kedah tunggu masa ke JDT
Tambah KBS lagi, keputusan kerajaan untuk menolak tawaran berkenaan adalah juga untuk memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat ketika ini.
Terdahulu, Malaysia ditawarkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel edisi ke-23 selepas Victoria, Australia menarik diri daripada menganjurkan temasya sukan berkenaan.
Untuk rekod, Victoria menarik diri untuk menjadi tuan rumah edisi ke-23 pada Julai tahun lalu disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta bagi pelanggaran kontrak kerana gagal menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan dari 17 hingga 29 Mac 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram