Kisah seperti bintang The Magpies, import baharu TFC dedah cerita sedih pilih nombor jersi 60


  • Podium
  • Selasa, 19 Mac 2024

Pilj merupakan pemain tengah baharu Terengganu FC. — Terengganu FC

KELAB Liga Super, Terengganu FC telah mengesahkan kehadiran pemain tengah baharu mereka dari Croatia iaitu Marin Pilj.

Dilihat sebagai tambahan kepada kekuatan di bahagian tengah, Pilj dijangka akan memainkan peranan penting di posisi tersebut bersama-sama Nurillo Tukhtasinov dan Manny Ott.

Bola belum lagi disepak, tetapi Pilj telah mencuri perhatian ramai dengan tindakannya memilih nombor jersi yang agak luar daripada kebiasaan.

Lazimnya bagi pemain tengah, mereka akan menyarung jersi bernombor 10, 8 atau 6 yang sinonim dengan posisi tersebut. Namun begitu, Pilj memilih untuk menggunakan nombor yang besar iaitu 60.

Keputusan itu diambil kerana terdapat nilai sentimental yang ada dalam diri pemain tersebut. Bercakap kepada media rasmi Terengganu FC, Pilj mendedahkan nombor 60 itu mempunyai kaitan dengan bapanya.

"Bapa saya telah meninggal dunia pada usia 60 tahun. Jadi saya ingin mendedikasikan nombor tersebut dengan umur terakhir bapa saya sebelum meninggal dunia," kata Pilj.

BACA LAGI: ‘Saya sentiasa di pejabat’, CEO NSFC jawab dakwaan lari, 'sidai' Zaquan Adha

BACA LAGI: Dapat slot Olimpik sekalipun Harimau Muda tak akan panggil Arif Aiman

Menurut Pijl, bapanya memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan kariernya sebagai pemain profesional. Kalau tidak kerana bapanya, dia pasti tidak akan menjadi pemain seperti hari ini.

"Sejak kecil, saya mempunyai hubungan yang rapat dengan bapa saya. Bapa saya memberikan galakan terbesar untuk saya menceburkan diri dalam bola sepak.

"Dialah yang menghantar saya ke akademi dan merupakan orang pertama yang memberikan motivasi untuk saya terus berusaha menjadi pemain yang terbaik," ujar Pilj lagi.

Kisah Pilj ini mempunyai menyerupai dengan apa yang dilakukan oleh bintang Newcastle United, Bruno Guimaraes yang menyarung jersi bernombor 39 di kelabnya itu.

Menurut Guimaraes yang beraksi sebagai pemain tengah The Magpies, dia memilih nombor 39 adalah kerana ia adalah angka pada teksi yang digunakan oleh bapanya di Brazil untuk mencari rezeki buat keluarga.

Pilj merupakan pemain import keenam dimiliki Terengganu selepas Ott, Tukhtasinov, Matthew Steenvoorden, Ismaheel Akinade, Argzim Redzovic dan Ivan Mamut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram