Nasib Perlis United wajar disimpati, tapi lebih baik mereka kekal di Liga M3


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Perlis United akan kekal di Liga M3 untuk musim 2024. — Perlis United FC

NASIB bagi kelab Liga M3, Perlis United FC untuk menyertai Liga Super telah diketahui dengan mereka tidak dapat merealisasikan hajat beraksi dalam saingan tersebut.

Hal ini kerana, pihak Malaysian Football League (MFL) telah memutuskan yang Perlis United tidak layak untuk mendapatkan lesen kebangsaan untuk membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super untuk musim 2024/2025.

Situasi yang menimpa Perlis United itu nyata mengecewakan terutamanya penyokong mereka yang pastinya kempunan melihat Singa Utara kembali mengaum dalam bola sepak tempatan.

Namun begitu, mengikut pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, kejadian yang berlaku itu pastinya memberikan hikmah buat Perlis United. Pada hematnya, lebih baik Perlis United terus saja kekal di Liga M3.

"Saya bersimpati dengan Perlis United FC tetapi saya tetap yakin bahawa platform terbaik mereka adalah terus kekal beraksi di Liga M3.

"Mereka kena kerja lebih kuat dan sekiranya suatu hari nanti dapat layak secara merit, mana tahu pasti akan muncul penaja-penaja yang benar-benar jujur untuk bersama dengan kelab Singa Utara ini," kata Pekan kepada MFL.

BACA LAGI: Bawa reputasi Piala Asia, cubaan saingi Hidalgo antara 3 cabaran pemain Uzbek di Liga Super

BACA LAGI: Kedah, KL City terselamat tapi Perlis United kempunan ke Liga Super

Selain itu, Pekan turut memuji ketegasan pihak MFL dan First Instance Body (FIB) yang benar-benar serius dalam memastikan setiap kelab mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk bersaing dalam Liga Malaysia.

Jika MFL dan FIB tidak serius dalam hal ini, Liga Malaysia akan berada dalam keadaan yang lebih cacamarba.

"Itulah kadang-kadang dokumen atau surat-surat sokongan yang disediakan oleh pasukan memang akan nampak elok sahaja pada awalnya.

"Semuanya terlihat lengkap dan sempurna sebab yang penting adalah untuk mereka mendapatkan lesen bertanding.

"Tetapi, keputusan yang dibuat oleh FIB dan MFL saya boleh anggap sebagai satu kejayaan untuk membanteras dan membendung perkara tidak sepatutnya yang boleh berlaku kepada kelab dalam liga ini," jelas Pekan.

Selain daripada Perlis United, dua lagi kelab iaitu Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC juga sudah diketahui nasib mereka dengan MFL masih memberikan ruang untuk bertanding.

Namun begitu jika permasalahan mereka tidak dapat diselesaikan, MFL akan bertindak lebih keras dengan mengenakan hukuman denda dan pemotongan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram