Sedar Oman pasukan handal, Pan-gon tagih doa penyokong Harimau Malaya dari jauh


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Kim Pan-gon berharap sokongan padu diberikan penyokong Harimau Malaya walaupun dari jauh. — FAM

PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengharapkan sokongan padu diberikan oleh penyokong Malaysia walaupun berada jauh daripada mereka.

Malaysia akan turun berdepan Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat. Menyedari tidak akan ramai 'ekor' Harimau Malaya yang berada di tempat lawan, Pan-gon meminta agar doa dihantar untuk mengiringi perjuangan skuad negara.

"Kami tahu yang semua rakyat Malaysia akan menyokong kami. Oleh itu, ia akan menjadi kekuatan kami ketika turun berdepan Oman.

"Kami berasakan yang kami akan beraksi bersama-sama rakyat Malaysia, kami akan berjuang bersama-sama mereka. Jadi, kami amat menghargai setiap sokongan mereka kepada kami," kata Pan-gon ketika sidang media pra-perlawanan bertemu Oman.

Bakal turun berdepan Oman dengan persiapan yang tidak seberapa kerana liga belum lagi berlangsung serta cuma ada satu perlawanan pemanas badan berdepan Nepal, Pan-gon tetap mengharapkan persembahan terbaik diberikan oleh para pemainnya dalam aksi berganda ini.

BACA LAGI: Bawa reputasi Piala Asia, cubaan saingi Hidalgo antara 3 cabaran pemain Uzbek di Liga Super

434064756_1115515682855000_2436768161688802879_n

Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan sebelum berdepan Oman. — FAM

Dia pastinya mahukan persembahan serta keputusan positif berjaya diraih bagi kedua-dua aksi yang diadakan di Muscat dan Kuala Lumpur.

Namun begitu, Pan-gon tetap mahu para pemainnya untuk kekal menghormati kekuatan Oman kerana ini adalah kali pertama Harimau Malaya menentang pasukan terkuat dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.

Katanya, ranking ke-80 dunia yang dimiliki Oman menggambarkan betapa bahayanya mereka terutamanya ketika melancarkan serangan.

BACA LAGI: Kecemerlangan Harimau Malaya ikat Korea pikat bintang Jepun ke Liga Super

"Benar kami adalah pasukan teratas (dalam carta kumpulan D) tetapi anda perlu sedar, kami belum bertemu pasukan pilihan utama iaitu Oman. Dua perlawanan ini (di Muscat dan Kuala Lumpur) adalah perlawanan yang penting.

"Seperti yang kita tahu, Oman adalah pasukan yang berada di ranking ke-80 dunia. Lazimnya, mereka adalah pasukan yang begitu baik dalam menyerang. Oleh itu, kami perlu menghormati Oman," ujar Pan-gon.

Jika berjaya meraih dua keputusan positif daripada aksi berganda berdepan Oman, Malaysia boleh mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027 lebih awal sambil mencerahkan peluang untuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram