JARINGAN tunggal yang memberi Terengganu FC (TFC) II kemenangan Piala MFL ternyata tidak memberi jaminan untuk Muhd Isa Raman kekal bersama skuad Sang Penyu selepas mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan berkenaan pada penghujung musim lalu.
Nama Isa Raman sebelum ini tidak sepopular Ubaidullah Shamsul Fazili, Muslihuddin Atiq Mat Zaid dan Faris Rifqi Abdul Rashid, namun jaringannya pada pentas akhir Piala MFL kekal segar di ingatan penyokong.
Pada minit ke-82 perlawanan akhir menentang Johor Darul Ta'zim II, TFC II membuat pertukaran dengan memasukkan Isa Raman bagi menambah pemain di bahagian serangan dan percaturan berkenaan membuahkan hasil dengan trofi Piala MFL menjadi milik Sang Penyu.
Kejayaan satu malam tersebut bagaimanapun tidak menarik minat Terengganu untuk mengekalkannya dan sehingga kini dikhabarkan pemain berusia 23 tahun itu masih belum dilamar mana-mana pasukan Liga Super.
"Sejujurnya sedih apabila kontrak tidak di sambung kerana belum puas saya menabur bakti kepada negeri kelahiran saya. Namun, saya akur dengan keputusan tersebut dan menganggap ia membuka peluang kepada saya untuk mencari pengalaman di tempat baharu.
"Saya tidak menerima sebarang tawaran dari pasukan Liga Super. Malah, saya ada juga berusaha untuk mencari beberapa pasukan tetapi saya anggap masih belum ada rezeki buat saya," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: DNA Terengganu makin dapat perhatian, fans Croatia bangunkan laman khas demi Sang Penyu
Kontrak Isa Raman bersama-sama TFC II sudah tamat pada November lalu. — Facebook/TFC II
BACA LAGI: Terengganu bukan pilihan pertama Marin Pilj, cerita pahit dengan kelab lama punca ke Sang Penyu
Isa Raman sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke PDRM FC, namun ia masih berstatus khabar angin dan skuad Sang Saka Biru pula sebaliknya difahamkan mahu mendapatkan khidmat Shahrel Fikri.
Selain ingin beraksi di peringkat Liga Super, pemain yang menghabiskan kariernya selama tujuh tahun di Terengganu itu juga difahamkan ingin mencuba nasib beraksi di saingan liga Asia Tenggara lain.
Dalam pada itu, bercakap mengenai momen indahnya bersama skuad kendalian Hairuddin Omar sepanjang tahun lepas, penyerang muda itu akui ia adalah momen yang paling indah dalam karier bola sepaknya.
"Pada saya, setiap momen bersama TFC adalah momen yang terbaik buat saya. Tipulah kalau saya tak rindu momen itu. Namun, antara momen yang paling saya tak akan dilupakan adalah pencapaian saya dan pasukan semasa Final Piala MFL.
"Ya lah, masuk pun pada minit terakhir tetapi sudah menjadi rezeki akhirnya dapat menyumbangkan satu gol kepada TFC II sebelum berakhirnya khidmat saya di TFC," kongsinya.
Sepanjang beraksi bersama TFC II bagi musim 2023, Isa Raman melakukan 18 penampilan dalam saingan Piala MFL dengan menjaringkan tiga gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram