ISU penamatan kontrak yang berlaku terhadap pemain tempatan mula mendapat perhatian meluas meskipun kes sebegitu bukanlah sesuatu hal baharu dalam dunia bola sepak.
Bekas kapten Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Radzak merupakan individu terbaharu berdepan perkara berkenaan yang seterusnya mendesaknya menamatkan karier.
Kemelut terbabit kemudiannya mencetuskan konflik antaranya dengan pihak pengurusan kelab, terutamanya Ketua Pegawai Eksekutif, Faliq Firdaus yang menegaskan tiada percanggahan berlaku.
Perkara itu pasti dikhuatiri penggemar bola sepak tanah air yang beranggapan satu lagi isu besar akan tercetus sehingga mencoret reputasi sukan berkenaan.
Manakan tidak, kemelut tunggakan gaji yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini terlalu kerap berlaku sehingga membuatkan orang ramai seakan-akan muak untuk mengetahui perkembangan Liga Super.
BACA LAGI: Isu gaji Melaka, Sarawak United tunjuk perkembangan positif — PFAM
Penamatan kontrak Zaquan membuka mata peminat bola sepak mengenai isu berkenaan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Jadi, satu pendekatan terbaik perlu disediakan untuk memastikan isu penamatan kontrak secara tiba-tiba tidak menjadi barah dalam landskap bola sepak tanah air.
Harapan itu seakan-akan didengari Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM), Izham Ismail, apabila pihaknya sudah bersedia untuk membendung perkara itu daripada berlaku.
"Ia merupakan satu isu yang sering berlaku dan kita bersedia untuk menghadapi isu-isu sebegini dan itulah pentingnya kesedaran oleh semua pihak berkenaan intipati kontrak tersebut.
"Jadi, oleh sebab itu saya menyeru kesemua pihak untuk lebih berhati-hati, lebih cakna dan lebih faham kontrak yang ditandatangani supaya tidak ada masalah di kemudian hari," katanya.
Izhar berkata demikian ketika ditemui media dalam majlis berbuka puasa anjuran PFAM di Rumah Titian Kasih, Kuala Lumpur pada Selasa.
BACA LAGI: 'Fahami derita pemain', CEO PFAM mahu kerjasama FAM-MFL semakin kuat lawan isu tunggakan gaji
Kontrak Azmi ditamatkan tanpa sebarang penjelasan dibuat kepada orang ramai. — Facebook/PDRM FC
Sebelum ini, isu sebegitu pernah berlaku dengan kapten PDRM FC, Azmi Muslim dan pemain Kelantan FC, Amin Faisal pernah mengalami nasib sedemikian.
Bagaimanapun, penamatan kontrak Zaquan oleh Negeri Sembilan FC lebih mencuri perhatian memandangkan pemain berkenaan disisihkan beberapa bulan sebelum ini akibat kecederaan serius dialaminya.
Jelas Izham lagi, kesemua pihak perlu menghormati kontrak di samping memahami peraturan supaya isu sama di samping penamatan kontrak tidak berulang.
"Profesionalisme. Saya rasa apabila kita lihat semula kepada kontrak dan faham mengenainya, kita akan tahu apa kesan apabila kontrak itu tidak dihormati.
"Saya rasa itu sahaja sudah cukup untuk mempersiapkan semua pihak bagi menghadapi musim hadapan. Jika kontrak itu tidak dihormati, kita tahu bilakah pembayaran gaji dibuat dan tahu apa akan berlaku jika tidak dibayar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram