Situasi tak berubah, isu kekurangan penyerang lokal pernah jadi kerisauan jurulatih HM


  • Podium
  • Selasa, 19 Mac 2024

Ketandusan penyerang tempatan dalam skuad kebangsaan masih menjadi masalah buat sukan bola sepak negara. — FAM

SUDAH menjadi norma dalam bola sepak di negara kita apabila kelab-kelab di Liga Super akan mengambil pemain import bagi menguatkan skuad.

Namun begitu, dalam usaha kelab menguatkan skuad sedia ada, terdapat kecenderungan untuk mengambil penyerang import dengan tujuan pasukan boleh bersaing. Akan tetapi, tindakan tersebut sebenarnya membataskan peluang penyerang-penyerang tempatan untuk beraksi dan menyinar.

Isu ketandusan penyerang tempatan pernah menjadi kegusaran bekas jurulatih skuad kebangsaan iaitu Datuk K. Rajagobal. Dia yang membawa Malaysia memenangi Piala AFF pada 2010 mengatakan Liga Malaysia adalah punca kenapa Harimau Malaya sukar mendapatkan gol di peringkat antarabangsa.

Keluhan itu hadir selepas Harimau Malaya gagal menterjemah setiap peluang yang ada ketika perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam. Ketika itu, Malaysia kalah 1-4.

Rajagobal menggunakan Norshahrul Idlan Talaha dan Amri Yahyah sebagai gandingan serangan. Akan tetapi, kualiti serangan itu tidak cukup bagus dan menjadi punca Malaysia gagal menyerlah.

BACA LAGI: Fayadh bukan saingan tapi faktor lain jadi kerisauan Messi Ganu gagal bagi impak bersama Kedah

BACA LAGI: Tewas mengejut kepada Police Tero, ada yang anggap JDT simpan kuku

"Satu-satunya penyerang tulen yang saya ada adalah Norshahrul Idlan Talaha. Amri bermain di belakang penyerang, Safee Sali juga merupakan seorang penyerang tetapi dia tidak bersama kita.

"Lihat kepada empat kelab teratas di Liga Super, siapakah penyerang mereka? Kami tidak boleh lakukan apa-apa kerana itulah yang liga berikan kepada kita.

"Ia bukan mudah untuk bermain di tahap tertinggi. Lihat kepada Arab Saudi, mereka mempunyai fizikal yang kuat dan baik dari segi taktikal dan teknikal," kata Rajagobal.

Empat kelab yang dimaksudkan oleh Rajagobal itu adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, ATM FA dan Kelantan FC.

rajagopal

Rajagobal begitu kecewa Liga Malaysia gagal hasilkan penyerang tempatan berkualiti. — Agensi

Rintihan yang dinyatakan oleh Rajagobal itu masih relevan sehingga hari ini. Walaupun Harimau Malaya kini merupakan pasukan yang lebih baik, tetapi isu ketandusan penyerang masih lagi belum selesai di negara kita.

Sehinggakan satu tahap, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pemain naturalisasi sebagai penyerang negara seperti Guilherme De Paula, Romel Morales serta Mohamamdou Sumareh.

Isu ketandusan penyerang tempatan ini tidak akan selesai selagi tiada peluang diberikan kepada para pemain dan pihak kelab masih tidak mempercayai mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram