MINGGU lalu dunia bola sepak tanah air dihebohkan dengan rintihan dari bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak yang mendakwa menerima layanan kurang profesional berhubung penamatan kontraknya dari pihak pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Zaquan Adha kecewa apabila hanya diutuskan sekeping surat memaklumkan kontraknya bersama skuad Jang tidak dilanjutkan, selain mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Faliq Firdaus mengelak daripada berjumpa dengannya.
Menurut Zaquan Adha, pertikaian mengenai kontraknya tidak disambung telah membuatkan dirinya mempunyai masa yang singkat bagi mendapatkan kelab baharu menjelang sepak mula Liga Super pada Mei.
Difahamkan, bekas kapten skuad Jang itu turut mendedahkan mahu mengakhiri karier bola sepaknya bersama pasukan Negeri Sembilan sebagai barisan kejurulatihan namun penutupnya bukan seperti yang diidamkan oleh penyerang berusia 37 tahun tersebut.
Drama antara Zaquan Adha dan pihak pengurusan NSFC disambung dengan pendedahan daripada Faliq apabila dia mendedahkan sudah bertemu dengan para pemain selepas dua hari dilantik menjadi CEO kelab yang baharu.
BACA LAGI: Bakal ikut jejak abang di JDT, kelab Lembah Klang sambar Zaquan Adha sebagai jurulatih?
Zaquan mendedahkan bahawa akan bersara selepas kontrak bersama NSFC tamat. — Facebook/NSFC
Faliq memberitahu para pemain skuad Jang untuk selamatkan periuk nasi mereka terlebih dahulu, dan jika mahu kekal bersama Negeri Sembilan maka perlulah menerima pemotongan gaji.
Selepas hampir seminggu kes membabitkan pengurusan Negeri Sembilan dan Zaquan Adha reda, muncul lagi situasi serupa melibatkan seorang pemain skuad Jang iaitu penyerang, Shahrel Fikri.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh isteri penyerang berusia 29 tahun berkenaan di laman Facebook, yang mendedahkan pihak pengurusan NSFC juga lambat memberi notis penamatan kontrak kepada suaminya.
BACA LAGI: 'Ikut pelan nak sertai barisan jurulatih', Zaquan Adha reda kontrak tak disambung di NSFC
Tangkap layar hantaran dari isteri Shahrel dalam laman Facebook.
"Suami kita pun hujung-hujung dia baru beritahu tidak nak sambung kontrak. Konsepnya mudah kalau tidak nak beritahu saja awal-awal. Orang boleh cari pasukan lain. Entah kenapa pengurusan tahun lepas Negeri Sembilan 'hauk'," luah isteri Shahrel yang menggunakan akaun Facebook, Wani Wunny.
Selepas setahun bersama skuad Jang, jodoh Shahrel bersama pasukan Negeri Sembilan berakhir apabila kontraknya tidak disambung bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim 2024/2025.
Shahrel yang lebih mesra dipanggil Eky merupakan penyerang utama sejak berhijrah ke skuad Jang pada awal musim 2023 dan dia menjaringkan lima gol sepanjang beraksi bersama Negeri Sembilan musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram