MENGHITUNG beberapa jam lagi sebelum Harimau Malaya menentang pasukan kebangsaan Nepal, perang psikologi sudah dilancarkan oleh penyokong skuad The Gorkhalis apabila meletakkan logo kontroversi pada poster perlawanan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh laman penyokong pasukan berkenaan, GoalNepal.com pada laman Twitter (X) menyaksikan logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditukar dengan gambar harimau kaki berbalut.
Selain gambar harimau berbalut, laman penyokong pasukan di ranking ke-175 dunia itu juga mempersenda nama FAM dengan menukar kepada Persatuan Kena Sepak Malaysia pada pada logo berkenaan.
Walaupun ia sekadar perang psikologi dari penyokong skuad The Gorkhalis namun penerimaan pemain ke-12 Harimau Malaya jelas kurang senang dan mengganggap usikan manja berkenaan seperti mengata kebolehan Harimau Malaya.
BACA LAGI: Ulang kesilapan di Qatar, pakar gusar apa nasib Harimau Malaya berdepan Oman
Poster perlawanan yang menggunakan logo membahan Harimau Malaya. — Facebook/GoalNepal.com
"Pasukan mereka pun ranking berapa. Ada hati nak membahan negara lain," kata penyokong Harimau Malaya, Nuri Zahin.
"Dasar Nepal perang secara halus. Mereka bantai pakai logo Persatuan Kena Sepak Malaysia dengan harimau berbalut," tambah penyokong skuad kebangsaan, Wan Ilham.
Aksi pemanas badan berjumpa pasukan ke-175 dunia itu dibuat bagi membantu para pemain memperbaiki prestasi masing-masing dek tiada perlawanan kompetitif berlangsung sejak Piala Asia pada Januari lalu.
Pasukan negara bakal berdepan Oman dalam aksi ketiga dan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di tempat lawan pada 20 Mac sebelum perlawanan di laman sendiri enam hari kemudian.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada tahun 2019 dengan kemenangan 2-0 memihak kepada skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan berkenanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram