[VIDEO] Fans mula gelisah, Selangor main teka teki ‘up’ gambar bekas pemain


  • Podium
  • Rabu, 10 Jan 2024

German (kiri) hanya sempat tampil dalam satu perlawanan bersama Selangor sebelum digantikan dengan Sandro. — Selangor FC

SELANGOR musim ini menamatkan perjalanan saingan Liga Malaysia di tangga kedua selepas hanya merekodkan lima kekalahan dan 20 kemenangan dalam 26 perlawanan Liga Super.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga berjaya merebut slot ke pentas Asia pada musim depan sekali gus akan melakukan penampilan pertama dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) yang akan menentang kelab-kelab daripada Jepun, Korea Selatan dan China.

Dengan Selangor yang beraksi di pentas Asia, 'pemain ke-12' mula teruja untuk melihat perancangan pihak pengurusan bagi membentuk pasukan yang lebih ampuh bagi memberi saingan dalam kejohanan domestik serta antarabangsa.

Sebelum ini, Selangor dikaitkan dengan dua bintang import iaitu penyerang Turkiye, Deniz Hummet dan bekas pemain antarabangsa Cape Verde, Alvin Fortes selepas mereka berdua sah bergelar ejen bebas.

Namun, hasrat penyokong Gergasi Merah untuk melihat kelibat Hummet beraksi di bumi Darul Ehsan musim depan tidak kesampaian apabila pihak pengurusan kini beralih arah terhadap pemain lain.

Tetapi perbincangan bersama Fortes masih lagi diteruskan selepas melihat dia mempunyai pengalaman beraksi di rantau Asia Tenggara dalam Liga Thailand bersama Ratchaburi FC dan Nongbua Pitchaya FC.

BACA LAGI: [VIDEO] Bakal jadi kapten Harimau Malaya dalam Piala Asia, Matthew Davies pernah tak gembira bawah OKS

Baru-baru ini, penyokong mula rasa gelisah apabila laman rasmi Selangor FC memuat naik gambar bekas pemain import dan tempatan seolah-olah memberikan gambaran bahawa pihak pengurusan berniat untuk menandatangani mereka semula.

"Takkan 'recall' balik diorang?" soal Al-Afif Osman.

"Siapa pun tak kisah, janji terbaik buat King of Malaya, yang penting jangan ambil bekas pemain," jelas Ilham Budi.

"Pemain-pemain dah serasi, jangan diganggu atau dikacau, kalau kacau juga habislah jadi kucar-kacir pemain-pemain nanti," luah Mohd Shah.

Namun posting yang dimuat naik oleh pihak media Selangor itu bukanlah memberi gambaran bahawa tiga bekas pemain itu akan kembali memperkuatkan Gergasi Merah.

Tetapi ia lebih kepada 'recap' buat penyokong untuk lebih mengingati bekas-bekas pemain yang pernah berbakti bersama pasukan Selangor.

Antara gambar dimuat naik oleh Selangor itu ialah bekas pemain import, Sandro da Silva dan Taylor Regan yang pernah menyarung jersi Merah Kuning pada musim 2019 hingga 2021.

Bersama Selangor, Sandro dibawa masuk pada minit-minit akhir jendela perpindahan musim 2019 oleh mendiang B.Sathianathan bagi menggantikan Antonio German yang kurang menyerlah dalam perlawanan pertama Liga Super sehingga mendapat kritikan negatif daripada penyokong.

Untuk rekod, bekas pemain berusia 40 tahun itu turut menjaringkan 13 gol dan lima 'assist' dalam 29 penampilan bersama Gergasi Merah.

Manakala Taylor Regan pula pernah diberi kepercayaan menjadi kapten skuad Gergasi Merah dan turut tampil dalam 29 perlawanan bersama Selangor.

Jadi siapakah bakal pemain import yang akan dibawa masuk oleh Cheng Hoe pada musim depan? Mari sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram