BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air kecoh apabila kelab Liga M3, Perlis United dilaporkan memilih untuk menarik diri daripada menyertai Liga Super.
Mereka dilaporkan telah menghantarkan surat kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada menjadi kelab Liga Super kerana faktor kewangan.
Sebelum ini, Perlis United dilaporkan mempunyai sejumlah dana berjumlah RM25 juta untuk bertanding dalam Liga Super. Namun begitu, nilai itu seakan-akan tidak ada kerana faktor penajaan yang satu demi satu menarik diri.
Enggan menimbulkan spekulasi, pengurusan Perlis United FC (PUFC) mengakui bahawa ada penaja yang sudah menarik diri dari mahu menaja kelab berkenaan namun masih ada penaja yang kini berada pada fasa terakhir perbincangan penajaan terhadap kelab berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply berkata, perjanjian penajaan yang dijanjikan oleh sebilangan penaja tempoh hari bukanlah satu cakap kosong kerana ia turut membabitkan penerimaan surat hasrat atau letter of intent (LOI) daripada pihak penaja.
"Ada yang sudah tarik diri dan ada yang masih di peringkat terakhir perbincangan perjanjian. Omongan kosong (penajaan) dari pihak mana, jika di pihak kami, ia tiada kerana kami ada menerima LOI sebelum ini dari penaja.
"Malah, jumlah yang dinyatakan pun dari pihak penaja bukan dari kami dan yang lain-lain masih belum dapat beri komen," katanya.
BACA LAGI: Dah jumpa orang kanan Tomi, import Croatia jadi senjata terakhir Sang Penyu
Perlis United dilihat tak jadi sertai Liga Super. — Perlis United
BACA LAGI: Sang Kenari antara 3 kelab 'hati kering' guna khidmat striker muda
Rozailmee berkata demikian dalam satu jawapan balasnya terhadap pertanyaan daripada seorang penyokong bola sepak negeri itu yang bertanyakan mengenai perkembangan penajaan PUFC menerusi laman Facebook pada Sabtu.
Tambahnya lagi, buat masa ini, pihaknya masih tetap fokus berhubung penajaan untuk beraksi di Liga Super musim ini disebabkan masih mempunyai tempoh masa yang diberikan pihak MFL.
"Buat masa sekarang kami tengah fokus untuk tajaan Liga Super sebab masih ada masa yang diberikan.
"Pelan B kita pula adalah bermain untuk Liga M3 semula manakala pelan C pula adalah tidak menyertai mana-mana liga," katanya
Dalam masa yang sama, Rozailmee memberitahu, terdapat beberapa kelebihan yang akan diterima oleh penaja yang berjaya menaja PUFC.
Menariknya, salah satunya adalah membabitkan pengecualian cukai dari nilai yang disalurkan.
"PUFC mempunyai 'fan base' yang ramai 'so very good investment', penjenamaan atau 'branding' melalui papan 'LED A Board/Sign Board' sekitar stadium yang turut merangkumi 'live tv' yang akan ditonton seluruh negara yang mana jenama penaja akan terpampang pada jersi pasukan.
"Selain itu, pelbagai program dan acara akan disusun oleh PUFC buat syarikat penaja, penyediaan bilik khas VVIP setiap perlawanan bagi penaja utama, pas perlawanan bagi penaja yang lain dan banyak lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram