DI saat kelab-kelab Liga Super seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC rancak membawa masuk pemain baharu, ada satu pasukan yang tidak boleh dipandang enteng.
Kelab Sarawak, Kuching City FC secara aktif merekrut ramai pemain untuk musim baharu dengan harapan dapat membaiki kedudukan liga mereka yang begitu mengecewakan pada 2023.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu mendapatkan beberapa pemain baharu seperti Jordan Mintah, Filemon Anyie, Rodney Celvin dan ramai lagi.
Namun begitu, sebenarnya masih lagi ada ruang untuk beberapa pemain yang boleh direkrut oleh The Cats baik secara pinjaman atau perpindahan penuh.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga pemain berpotensi untuk Kuching City dapatkan sebelum jendela perpindahan ditutup:
1. Danial Amier
Pemain JDT ini merupakan salah satu nama yang mungkin boleh dibawa masuk ke Kuching City pada musim ini.
Dikaitkan dengan beberapa kelab sebelum ini di Semenanjung Malaysia, Danial mahu menjadikan musim 2024/2025 merupakan detik kebangkitannya selepas mengharungi beberapa siri kecederaan yang membantutkan perkembangannya.
Dengan menyertai Kuching City, ia dapat membantu Danial mendapatkan semula keyakinannya apabila beraksi dalam saingan tertinggi di Malaysia sekali gus menajamkan permainannya.
Jika Kuching City berminat untuk dapatkan Danial, barangkali mereka cuma mampu meminjam sahaja berbanding merekrutnya secara tetap.
BACA LAGI: Perlis United tak jadi sertai Liga Super?
Danial Amier (tengah) merupakan bintang JDT yang mula malap. — Agensi
2. Aliff Haiqal
Satu lagi nama yang boleh dipertimbangkan pengurusan Kuching City adalah mendapatkan pemain muda Selangor FC iaitu Aliff Haiqal.
Penglibatan Haiqal bersama-sama Selangor pada musim lalu dilihat agak terhad terutamanya dengan kehadiran pemain seperti Faisal Halim dan Ayron del Valle membarisi bahagian serangan.
Mungkin, musim ini boleh dijadikan sebagai waktu untuk Haiqal mencari lebih banyak minit permainan bagi memastikan perkembangannya tidak terhad sebagai pemain skuad (squad player).
Kuching City boleh menjadi tempat yang sesuai untuk Haiqal mendapatkan semula prestasinya dan kembali ke Selangor sebagai pemain lebih berkualiti.
BACA LAGI: Bukan Kedah atau Sabah, slot ACC hampir pasti jadi milik KL City, TFC
Aliff Haiqal kurang mendapatkan minit permainan pada musim lalu. — Selangor FC
3. Muslihuddin Atiq
Penyerang Terengganu FC itu juga boleh dipertimbang oleh Kuching City jika mereka mahu menambah sengat di bahagian serangan dengan tenaga tempatan.
Pemain berpotensi tinggi Terengganu ini boleh bermain di pelbagai posisi serangan dengan dia sudah mula kerap diturunkan sebagai pemain sayap kiri oleh skuad Penyu.
Atiq merupakan tunjang Terengganu II ketika memenangi Piala MFL. — Terengganu FC
Musim lalu, Atiq banyak membantu Terengganu FC II dengan melakukan 21 perlawanan dengan 17 daripadanya sebagai kesebelasan utama dengan enam gol dihasilkannya.
Dengan itu, ia menonjolkan kualitinya sebagai pemain serangan dan Kuching City boleh cuba untuk merisik mendapatkannya bagi menguatkan barisan hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram