MENJELANG kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman minggu depan, skuad kebangsaan melakukan persiapan terbaik.
Walaupun kini berada di tangga teratas hasil dua kemenangan, harapan besar pasti diletakkan terhadap anak-anak buah Kim Pan-gon, lebih-lebih lagi untuk layak ke Piala Asia.
Selain mengadakan sesi latihan berpusat bermula 8 Mac lalu, Harimau Malaya memilih menganjurkan satu perlawanan sebagai aksi pemanas badan.
Pasukan di tangga ke-175 dunia, Nepal menjadi pilihan dengan pertembungan berkenaan diadakan secara tertutup di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
BACA LAGI: Harimau Malaya lawan Nepal aksi 'friendly' sebelum ke Oman jadi bahan ketawa fans Indonesia
Darren Lok menjadi watak utama Harimau Malaya dengan dua gol dijaringkannya. — Facebook/FAM
Seperti dijangka, kemenangan berpihak kepada skuad kebangsaan dengan skor 5-1 dicatatkan dalam aksi yang berlangsung selama 140 minit (4 half) itu.
Dua gol daripada Darren Lok dan satu masing-masing daripada Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Mukhairi Ajmal sudah cukup untuk memberi Harimau Malaya suntikan bermakna menjelang aksi berdepan Oman.
Namun, di sebalik kejayaan itu, segelintir penyokong beranggapan gol pihak lawan yang dijaringkan Sameer Tamang pada minit ke-68 sukar diterima.
Bagi mereka, ia membuktikan benteng pasukan negara masih goyah apabila tidak dapat mengekang serangan daripada Nepal yang jauh ketinggalan dalam ranking FIFA.
"Bukan lima gol yang patut curi perhatian, tetapi kenapa boleh bolos satu gol dengan pasukan lemah? Tanya sahaja ya," kata Zamziba Zabidi.
BACA LAGI: Risau tiada aksi kompetitif, Harimau Malaya jumpa pasukan ke-175 dunia sebelum ke Oman
Pan-gon pasti mahu mempersiapkan pasukannya sebaik mungkin. — Facebook/FAM
"Hmm, Nepal dapat skor pula. Tidak mengapalah, mungkin Pan-gon hanya menurunkan skuad B atau C sebagai pemanas badan," kata Shawnly Spencer.
"Wahh, terbaik Nepal dapat satu gol. Biarpun dah menang, bererti banyak juga yang harus diperbaiki. Selepas ini, lawan pasukan lebih hebat dalam Kelayakan Piala Dunia," kata Shukrie Ac.
Skuad kebangsaan bakal berdepan Oman pada Rabu akan datang di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat sebelum aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Mac.
Kemenangan akan mengukuhkan lagi peluang negara untuk mara ke peringkat seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia, sekali gus melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram