'Kelab terbuka beri peranan coaching staff tapi...', CEO NSFC jawab isu penamatan kontrak Zaquan Adha


  • Podium
  • Rabu, 13 Mac 2024

CEO Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus mendedahkan perkara sebenar mengenai penamatan kontrak Zaquan Adha. — Agensi

PADA Rabu, kancah bola sepak dikhabarkan dengan berita kurang gembira apabila bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, meninggalkan arena bola sepak negara selepas hampir dua dekad menabur bakti dalam Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun, ia bukanlah pengakhiran yang diidamkan penyerang berusia 37 tahun itu memandangkan dia hanya diutuskan sekeping surat memaklumkan kontraknya bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak dilanjutkan.

Difahamkan, bekas kapten skuad Jang itu turut mendedahkan mahu mengakhiri karier bola sepaknya bersama pasukan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, tampil menjelaskan berita penamatan kontrak bekas kapten skuad kebangsaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus mendedahkan perkara sebenar.

BACA LAGI: 'Ikut pelan nak sertai barisan jurulatih', Zaquan Adha reda kontrak tak disambung di NSFC

WhatsApp Image 2024-03-12 at 13.11.25

Selepas menabur bakti selama dua dekad dalam Liga Malaysia, Zaquan mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/Negeri Sembilan FC

BACA LAGI: Bakal ikut jejak abang di JDT, kelab Lembah Klang sambar Zaquan Adha sebagai jurulatih?

"Kontrak Zaquan Adha tamat pada 17 Disember 2023 dan kedua-dua pihak sedar akan fakta ini. Pemain dan kelab ada hak untuk continue atau cari kelab lain because it is an open market.

"Malah, ada pemain skuad Jang yang sedang negotiate walaupun latihan pramusim telah bermula," jelasnya.

Tambahnya lagi, pemain berusia 37 tahun itu tidak pernah menyemak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat tahun lalu.

"Zaquan Adha tidak pernah semak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat, hanya pertanyaan mengenai tunggakan gaji.

"Selepas tamat kontrak, asalnya dia ada di dalam perancangan pengurusan (maklumat ini tidak dimaklumkan kepada dia), namun setelah pertimbangkan sebab-sebab berikut, pengurusan ambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak.

"Zaquan sudah berumur 37 tahun dan setiap slot pemain kami sangat berharga, memandangkan kekangan kewangan, peluang dan sumbangan sebagai pemain pasti tidak dapat dimaksimumkan.

"Memandangkan dia memiliki rekod lima kali kecederaan koyak ligamen lutut anterior (ACL), pastinya ini satu risiko bagi kewangan kelab dalam jangka panjang.

"Surat makluman yang diberikan ialah 'courtesy' kerana kontraknya pun telah tamat pada 17 Disember 2023.

"Surat tersebut hanya memaklumkan bahawa kontrak Zaquan sebagai pemain tidak disambung, malah semua pemain yang tidak disambung juga terima surat yang sama.

"Bagaimanapun, kelab terbuka untuk sebarang peranannya menjadi sebahagian daripada coaching staff.

"Namun, tindakannya untuk ke media sangat mendukacitakan. Walhal dia tidak pernah sekalipun mahu menyemak statusnya sebagai pemain kepada pihak kelab," ciapnya di laman X. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram