[VIDEO] Gol panenka Zafuan Azeman tak cukup kalahkan Dion Cools


  • Podium
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Zafuan Azeman menjaringkan panenka ketika bertemu Buriram United. — Uthai Thani FC

UMUM mengetahui terdapat sebilangan kecil pemain Malaysia yang beraksi di luar negara. Pemain seperti Luqman Hakim yang beraksi di Jepun dan Richard Chin antara beberapa contoh.

Namun begitu terdapat juga nama-nama lain seperti Dion Cools dan Zafuan Azeman yang beraksi dalam saingan bola sepak Thailand.

Walaupun kedua-dua pemain beraksi di divisyen berbeza iaitu Cools di Thai League 1 dan Zafuan di Thai League 3, tetapi ia tidak menghalang kedua-dua pemain untuk bertemu dan beraksi sesama sendiri.

Kelab Cools dan Zafuan, Buriram United serta Uthai Thani bertemu sesama sendiri dalam perlawanan Thai League Cup. Apa yang menariknya, saingan sengit ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan.

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua kelab terikat dengan keputusan 2-2 dengan pemenang terpaksa dicari menggunakan penentuan sepakan penalti.

Dalam penentuan tersebut, Zafuan mencuri tumpuan apabila menghasilkan jaringan penalti menerusi teknik panenka untuk menewaskan penjaga gol Buriram iaitu Siwarak Tedsungneon.

BACA LAGI: Sambar penyerang Liga M3, anak jati bukan 'cokia' buka mata Kedah serata-rata

BACA LAGI: Lepas sambar Khatul dari Penang, ada pula mahu lihat KDN rekrut bintang terperap Kedah

Akan tetapi, jaringan cantik yang dilakukan oleh Zafuan itu tidak cukup untuk membantu Uthai Thani menewaskan Buriram apabila mereka kecundang 1-3 dalam penentuan tersebut.

Namun begitu, apa yang menarik perhatian adalah nama Zafuan dilihat berbeza apabila dia menggunakan nama Muhammatsapwan Klipkaeo.

Dalam carian di Google dan Transfermarkt, nama Zafuan telah bertukar menjadi Muhammatsapwan Klipkaeo dengan kerakyatannya turut berubah kepada Thailand.

Namun begitu, di media sosial Uthai Thani, mereka masih menggunakan nama Zafuan Azeman berbanding Muhammatsapwan Klipkaeo. Ia menimbulkan keraguan mengenai identiti pemain tersebut.

Adakah Zafuan sudah mengubah identitinya? Atau dia terpaksa menggunakan nama lain untuk tujuan teknikal demi mendapatkan tempat bermain dalam saingan Thailand?

Jika benar dia terpaksa berbuat demikian, ia adalah satu perkara yang menarik perhatian kerana seorang pemain terpaksa menggunakan identiti berbeza untuk membolehkan dirinya beraksi di liga luar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram