Lepas sambar Khatul dari Penang, ada pula mahu lihat KDN rekrut bintang terperap Kedah


  • Podium
  • Khamis, 14 Mac 2024

Khatul (kiri) memilih untuk menyertai KDN FC selepas kontraknya bersama skuad Harimau Kumbang tidak disambung. — Facebook/Penang FC

KESUKARAN mendapatkan sokongan daripada peminat bola sepak di negeri sendiri tidak menjadi penghalang bagi Kelantan Darul Naim (KDN) FC melakukan persiapan bagi musim depan.

Mereka yang baru sahaja menjalani penstrukturan semula itu seperti sukar meraih perhatian meskipun memiliki masa depan lebih cerah berbanding skuad The Red Warriors (TRW).

Jadi, dalam mencuri hati penyokong di Kelantan, pihak pengurusan memilih untuk memperkuatkan skuad dengan membawa masuk wajah-wajah baharu.

Bekas pemain Kelantan FC seperti Fazrul Amir Zaman dan Afzal Akbar merupakan antara nama yang disambar kelab Pantai Timur itu.

Namun, perhatian orang ramai lebih diberikan kepada kehadiran bekas penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Jalil yang diumumkan pada Khamis.

BACA LAGI: Makin hangat jadi rebutan, Azam Azmi harap dapat bantu Malaysia kalahkan Oman

432005025_848459730627016_7146345171825231370_n

Khatul bersedia untuk berdepan cabaran baharu bersama skuad Kijang Emas. Facebook/KDN FC

Meskipun tidak pernah meraih sebarang kaps di peringkat kebangsaan, pengalamannya dalam Liga Super dijangka dapat memperkukuhkan benteng pertahanan skuad Kijang Emas.

Ketinggiannya yang mencecah 1.81 meter juga boleh dikatakan satu kelebihan dengan posisi penjaga gol KDN FC masih belum diputuskan.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penyokong, mereka beranggapan kehadiran Khatul Anuar masih belum cukup untuk membawa perbezaan terhadap benteng pertahanan pasukan.

Ini kerana seorang lagi penjaga gol perlu disambar bagi memberi saingan dengan bekas pemain, Fikri Che Soh adalah salah satu calon dipetik.

BACA LAGI: Perlis United tak jadi sertai Liga Super?

319095808_569938138300874_2546807355045433451_n

Perpindahan Fikri ke skuad Sang Kenari masih belum membuahkan sebarang hasil. Facebook/KDA FC

"Bagus juga Khatul ni, harapnya dapatlah kurangkan jumlah gol bolos KDN FC musim depan. Tetapi, kalau nak lebih baik, boleh cuba dapatkan Fikri tu semula," ujar Zam Hisham.

"Fikri Che Soh tidak mahu bermain dengan kita lagi ke?" soal Nego Lako.

"Kalau dapat seorang lagi, lebih kukuh rasanya. Fikri lama tak main, tak nak cuba dia ke?" kata Halim Jaafar.

Fikri sebelum ini menjadi watak penting ketika Kelantan United beraksi dalam Liga Perdana 2022 sebelum dia memilih untuk menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Bagaimanapun, sepanjang semusim bersama skuad Sang Kenari, Fikri tidak diberikan peluang dalam skuad utama dengan hanya satu penampilan direkodkan dengan pasukan simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram