JENDELA perpindahan 2024/2025 masih belum selesai dengan beberapa pasukan kekal merahsiakan kehadiran wajah baharu dan ada juga yang mengambil masa untuk mencari pemain yang sesuai dengan taktikal jurulatih.
Di sebalik kelab yang masih bergelut mencari pemain, ada pasukan lain sudah lengkap sudah mengumumkan kehadiran tonggak baharu seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC (TFC).
Tiga pasukan berkenaan menjadi pasukan terawal yang memulakan sesi latihan pra musim dan kehadiran pemain baharu serta campuran tonggak sedia ada mereka juga memberi keyakinan kepada skuad depth kelab-kelab tersebut.
Keyakinan terhadap tiga pasukan berkenaan semakin diyakini terutama selepas melihat bahagian serangan mereka yang terdiri daripada gabungan pemain import baharu dan lama serta tonggak tempatan
Oleh itu, tidak hairanlah jika sudah ada penyokong optimis bahawa tiga pasukan berkenaan akan menjadi pencabar terbesar saingan liga jika trio bahagian serangan mereka akan menjadi pada musim ini.
Kali ini Majoriti akan menyenaraikan trio yang akan meranap impian kelab Liga Super lain untuk menghuni kedudukan tiga teratas pada musim ini;
BACA LAGI: Lepas singgah Buriram, admin TFC tenangkan ura-ura Dion Cools ke bumi Darul Iman
1) Trio JDT
Bergson kekal menjadi taruhan utama sebagai penyerang JDT pada musim ini. — Facebook/JDT
Juara 'double quadruple', JDT dijangka mengekalkan trio sama seperti musim lepas iaitu mempertaruhkan Fernando Forestieri di bahagian kanan, Bergson da Silva sebagai penyerang tengah dan Arif Aiman Hanapi mengemudi sayap kiri Harimau Selatan.
Gabungan trio tersebut mula dibentuk pada musim 2022 yang menyaksikan Harimau Selatan meraih 61 gol dengan majoriti daripadanya disumbangkan oleh Bergson, Forestieri dan Arif Aiman.
Peningkatan sebanyak 39 gol berhasil dibuat oleh Harimau Selatan pada musim 2023 dengan penyerang Brazil, Bergson menjadi penjaring terbanyak pasukan selepas menyumbang 21 jaringan gol pada saingan Liga Super.
Sekalipun antara tiga pemain itu ditimpa masalah kecederaan, Harimau Selatan tidak akan gusar kerana stok bahagian serangan mereka masih diisi dengan pemain baharu seperti Nicolao Cardoso (sayap kiri), Romel Morales (penyerang), dan Heberty yang mampu beraksi sebagai penyerang kedua dan pemain sayap.
2) Trio Selangor FC
Faisal (dua dari kanan) memasuki musim kedua bersama Selangor. — Facebook/SelangorFC
Bahagian serangan Selangor FC boleh dikatakan berwajah baharu untuk musim ini selepas pihak pengurusan dan kejurulatihan memutuskan untuk menyingkirkan Richmond Boakye serta Ayron Del Valle yang berhijrah ke pasukan Bolivia, Club Always Ready.
Susulan kehilangan dua pemain tersebut, barisan kejurulatihan Selangor sudah menandatangani penyerang baharu dari Chile, Ronnie Fernandez dan bekas pemain sayap kanan Ratchaburi FC, Alvin Fortes.
Walaupun keserasian trio baharu Gergasi Merah yang terdiri daripada Ronnie, Fortes dan Faisal Halim masih belum dapat disaksikan secara rasmi namun hubungan antara mereka sudah tercetus dengan aksi pra musim.
Melihat pada perkongsian klip video di media sosial Selangor, keserasian antara Ronnie dan Faisal sudah mula mendapat pujian apabila penyerang berusia 33 tahun itu dilihat membuat assist kepada pemain sayap kiri tersebut dalam satu aksi pra musim Gergasi Merah baru-baru ini.
BACA LAGI: Kelihatan di samping 'adik King Myvi' di Terengganu, ramai ingat Dion Cools rupanya Manuel Ott
3) Trio Terengganu FC
Duo JDT, Akhyar dan Safawi dipinjamkan selama semusim dari Harimau Selatan. — Facebook/TFC
Terengganu FC diramal berpotensi untuk kembali ke kedudukan tiga teratas pada saingan 2024/2025 dengan kehadiran beberapa pemain baharu seperti tonggak pinjaman dari JDT, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Dua pemain pinjaman itu semestinya sudah mempunyai keserasian sejak bersama Harimau Selatan dan mereka hanya perlu bekerjasama dengan Ivan Mamut untuk mengemudi bahagian serangan skuad Sang Penyu.
Penyerang kelahiran Croatia, Ivan merupakan penjaring terbanyak Terengganu pada musim lepas dengan pemain berusia 26 tahun itu sudah mencetak 17 gol dalam semua pertandingan disertai pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner.
Manakala, duo JDT tersebut pula bermotivasi tinggi untuk membantu serangan TFC kerana ingin kembali merebut gelaran pemain sayap terbaik tanah air selepas hanya memanaskan bangku simpanan di Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram