[VIDEO] Bukan hanya tendang kepala import Brazil, pemain brutal Indonesia pernah lempang bekas bintang AS Roma


  • Podium
  • Isnin, 11 Mac 2024

Tangkap layar Hamisi menendang kepala penyerang Persebaya, Bruno Moreira minggu lepas.

PEMAIN tengah PSS Sleman, Wahyudi Hamisi menjadi sorotan para penyokong Liga 1 Indonesia selepas dikenal pasti melakukan aksi kekasaran terhadap beberapa pemain termasuk insiden membabitkan bekas bintang AS Roma, Radja Nainggolan.

Sebelum Nainggolan menjadi mangsa pemain kebangsaan Indonesia berkenaan, aksi brutal Hamisi di atas padang sudah mula menjadi buah mulut penyokong apabila dia dikesan menendang kepala penyerang Persebaya Surabaya, Bruno Moreira.

Terjahan dari Hamisi itu berlaku ketika pasukannya tewas 1-2 di tangan Persebaya dalam aksi Liga 1 Indonesia di Stadium Gelora Bung Tomo (GBT), Surabaya, Indonesia pada Ahad minggu lepas (3 Mac 2024).

Selepas kejadian Hamisi menendang import Brazil berkenaan, pemain berusia 26 tahun berkenaan akhirnya tampil meminta maaf kepada Bruno dan memberi jaminan bahawa perkara sebegitu rupa tidak akan berulang lagi.

Rupa-rupanya, bukan sekadar Bruno yang pernah menjadi mangsa Hamisi. Tidak lama selepas dikecam kerana terjahan terhadap Bruno, Nainggolan pula mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa tamparan pemain itu ketika kekalahan besar 1-4 Bhayangkara di tangan Sleman pada 22 Februari lalu.

Difahamkan, rakan sepasukannya pernah mengingatkan bekas pemain antarabangsa Belgium tersebut mengenai aksi ganas Hamisi namun dia tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa pemain pasukan Sleman itu.

"Lelaki ni pun tampar saya tanpa sebab. Mula-mula dia berpura-pura kemudian minta maaf macam tak ada apa-apa.

"Yang kelakarnya, pemain lain pun menasihatkan saya untuk berhati-hati dengan pemain itu (Hamisi). Mungkin sudah berapa kali dia meminta maaf atas insiden seperti ini," kata pemain yang pernah mencipta nama di Eropah itu di laman Instagram.

Untuk rekod, selain kejadian menimpa dua pemain itu, Hamisi juga membuat perkara sama ke atas tonggak tengah Persebaya, Robertino Pugliara. Kaki pemain itu patah apabila dilanggar pemain kelahiran Kotamobagu, Sulawesi Utara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram