Tiada duit nak bayar Dion Cools tapi akan lepaskan pemain — CEO TFC


  • Podium
  • Isnin, 11 Mac 2024

Cools merupakan salah seorang pertahanan terbaik negara. — Facebook/FAM

IMPIAN penyokong Terengganu FC (TFC) untuk menyaksikan pemain pertahanan kebangsaan, Dion Cools menyarung jersi skuad Peteh tidak akan menjadi kenyataan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Sabri Abas tampil menafikan perpindahan berkenaan.

Pemain warisan Malaysia-Belgium itu dikhabarkan akan menyarung jersi Terengganu pada musim 2024/2025 selepas hampir setahun bersama pasukan divisyen satu Liga Thailand, Buriram United.

Walaupun media sosial rasmi kelab sudah tampil menafikan khabar angin berkenaan namun masih ada penyokong yang mempercayai pemain berusia 27 tahun itu akan menyarung jersi skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan kali ini.

Bagi meredakan desas-desus yang mengaitkan Cools dengan Terengganu, Mohd Sabri juga tampil menjelaskan bahawa ia sekadar khabar angin dan faktor kewangan juga menjadi halangan buat skuad Sang Penyu membawa masuk kapten skuad kebangsaan itu.

BACA LAGI: Lepas singgah Buriram, admin TFC tenangkan ura-ura Dion Cools ke bumi Darul Iman

WhatsApp Image 2024-03-11 at 18.10.13

Mohd Sabri dilantik sebagai CEO pada Oktober lepas.

"Benda itu khabar angin sahaja. Kebetulan kami ke Buriram bila khabar angin itu ada. Tidak akanlah kita mampu nak ambil Dion Cools. Dion Cools saja gaji besar," katanya kepada Majoriti pada Isnin.

Menurutnya skuad depth yang dimiliki kelab kendalian Tomislav Steinbruckner ketika ini juga tidak memaksa mereka untuk menambah seorang lagi pemain pertahanan ke dalam skuad Sang Penyu 2024/2025.

Malah, kehadiran beberapa wajah baharu juga membuatkan pihak pengurusan Terengganu untuk meminjamkan beberapa pemain ke kelab lain bagi membuka peluang kepada mereka meraih minit permainan.

WhatsApp Image 2024-03-11 at 18.10.12 (1)

Faiz difahamkan akan dipinjamkan ke pasukan lain bagi musim 2024/2025.

BACA LAGI: Kelihatan di samping 'adik King Myvi' di Terengganu, ramai ingat Dion Cools rupanya Manuel Ott

"Perancangan nak ambil bek tengah lain pun tiada sebab dari segi komposisi pemain pun dah penuh. Kami pun masih nak pinjamkan seorang atau dua pemain jika ada kelab yang berminat. Salah satunya Faiz Nasir sebab tengah ada rundingan dengan satu dua pasukan.

"Yang lain dah dilepaskan seperti Zuasyraf (Zuasyraf Zulkiefle) ke KUFC (Kelantan United FC), Arif Fadzilah ke Kuching City dan Aqil (Aqil Irfanuddin) ke Penang FC. Kami pinjamkan pemain sebab risau jika duduk sini, mereka tak dapat nak bermain," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Sabri berharap dengan barisan pemain yang ada akan membantu Terengganu mencapai sasaran iaitu menghuni kedudukan tiga teratas Liga Super dan memasuki salah satu final sama ada Piala FA ataupun Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram