KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman FC telah membuat keputusan untuk mendapatkan pengganti bagi Manuel Hidalgo dengan merekrut pemain dari Uzbekistan.
Sang Kenari mendapatkan Sukhrob Nurullaev sebagai pengganti kepada Hidalgo yang kini telah menyertai Sri Pahang FC hasil pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim.
Berusia 27 tahun, bekas rakan sepasukan kepada pertahanan Selangor FC, Umar Eshmurodov di FC Nasaf sebenarnya mempunyai banyak potensi yang mengujakan penyokong Kedah.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai apakah yang boleh ditawarkan oleh Nurullaev kepada bahagian serangan Kedah:
1. Versatil
Satu perkara yang bakal ditonjolkan oleh Nurullaev kepelbagaian pemain tersebut ketika beraksi di padang.
Walaupun dia merupakan pemain sayap yang sinonim beraksi di bahagian kanan, tetapi sebenarnya Nurullaev boleh bermain di kedua-dua belah sayap padang.
Nurullaev sememangnya dilihat sebagai pengganti Hidalgo yang sering bermain di bahagian sayap kanan. Namun begitu, sekiranya diperlukan Nafuzi Zain, dia dialihkan ke sayap kiri dan masih beraksi cemerlang.
Jika Nafuzi menggunakan taktikal tukar sayap atau swap wings ketika perlawanan, keberadaan Nurullaev boleh menimbulkan kegusaran pertahanan lawan kerana kualiti yang ada padanya.
BACA LAGI: Pengganti Hidalgo sudah ditemui, Kedah ambil pemain sayap Uzbekistan
Nurullaev mempunyai versatiliti beraksi di bahagian sayap. — KDA FC
2. Pengalaman antarabangsa
Kehadiran Nurullaev sebenarnya memberikan nilai tambah buat Kedah bukan saja dari segi kualiti tetapi terhadap pengalaman juga.
Nurullaev membawa pengalaman beraksi di peringkat Asia apabila mewakili FC Nasaf dalam saingan Liga Juara Juara AFC (ACL). Pada musim 2023, Nurullaev beraksi sebanyak enam perlawanan sambil menghasilkan dua gol.
Selain itu, namanya juga pernah menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Uzbekistan. Untuk rekod, Nurullaev telah mewakili negara dalam semua peringkat umur hinggalah ke skuad bawah 23 tahun (B-23).
Walaupun tidak mewakili Uzbekistan di peringkat senior, tetapi Nurullaev masih mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan itu pastinya akan berguna buat Kedah.
BACA LAGI: Sah bukan Mano Polking, tapi Selangor tetap berteka-teki nak ambil Park Hang-seo
Nurullaev (dua dari kanan) mempunyai pengalaman dalam saingan ACL. — KDA FC
3. Saham tengah naik
Walaupun ada yang meragui kehadirannya ke Kedah kerana kualitinya mungkin tidak sebagus Hidalgo, tetapi Nurullaev sebenarnya sedang menuju kemuncak prestasi.
Dengan persembahan cemerlang di Uzbekistan, ia telah memberikan kesan kepada nilai pasaran Nurullaev. Sebagai rekod, nilai pasaran pemain tersebut kini berada pada tahap €350 ribu (RM1.7 juta).
Nilai itu cukup signifikan kerana pada 2022, nilainya pernah menurun sehingga €250 (RM1.2 juta). Dalam masa semusim, Nurullaev berjaya menaikkan nilainya dengan tambahan €100 ribu pada harganya.
Sebagai perbandingan, nilai Nurullaev lebih tinggi daripada Hidalgo. Nilai pemain tersebut diletakkan pada paras €325 ribu (RM1.6 juta). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram