Tak macam SD, kepulangan Manny Ott disambut baik fans TFC


  • Podium
  • Ahad, 10 Mac 2024

Manny Ott kembali ke Terengganu selepas semusim di Kedah. — Terengganu FC

KELAB Liga Super, Terengganu FC benar-benar mahu memastikan kualiti skuad mereka berada pada tahap terbaik pada musim ini.

Mereka telah membawa kembali bekas pemain mereka iaitu Manny Ott ke Gong Badak sebagai usaha untuk menguatkan bahagian tengah daripada kelab Kedah Darul Aman FC.

Ott mencipta kepulangan sensasi ke Terengganu dengan dia melepaskan jawatannya sebagai ketua pasukan di Kedah untuk bersatu semula dengan skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner.

Menurut pengendali dari Croatia itu, usahanya memerhatikan perkembangan Ott membuahkan hasil apabila berjaya mengikat semula pemain tersebut bagi kelab Terengganu. Jelas sekali, kehadiran Ott akan menambah kualiti di bahagian tengah skuadnya.

"Saya telah mengikuti perkembangan Manuel Ott selama dua tahun. Apa yang saya boleh katakan, saya sememangnya inginkan pemain tengah serangan sepertinya yang bukan sahaja boleh mencorakkan gaya permainan pasukan tetapi boleh juga memberikan ancaman kepada penjaga gol lawan kerana mempunyai kelebihan untuk melepaskan rembatan jarak jauh, pandai mencari ruang di dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol.

"Dengan kembalinya Manny bersama pasukan ini, saya yakin ia akan meningkatkan lagi kualiti pada setiap posisi pasukan Terengganu FC musim ini," ujar Steinbruckner.

BACA LAGI: Hanya 1 peratus halang Brendan Gan sertai Sri Pahang

BACA LAGI: Lepas hilang Manuel Ott, Rizal Ghazali dan Ifwat Akmal boleh jadi calon kapten Sang Kenari

Kepulangan Ott ke Terengganu melengkapkan penyatuan semula dua individu daripada Kedah dengan kelab Pantai Timur itu.

Sebelum ini, Terengganu mendapatkan semula Zul Fadzli Rozi atau Joe Rozi untuk mengisi jawatan sebagai pengarah sukan kelab itu. Akan tetapi, kepulangannya tidak disenangi oleh penyokong Terengganu kerana menganggap dia sebagai "pengkhianat" kepada kelab.

Namun begitu, nada berbeza ditonjolkan oleh penyokong Terengganu terhadap kepulangan semula Ott. Sambutan dengan nada positif diberikan oleh penyokong terhadap pemain antarabangsa Filipina itu sebaik Terengganu mengumumkan kepulangan semulanya.

"Selamat pulang Ott," ujar penyokong bernama Yatie Zulkifli dengan ringkas.

"Tak sabar nak tengok gandingan Ott dengan Ivan Mamut," komen Are Tzu dengan penuh teruja.

"Insya-ALLAH tahun ni, kalau tidak ke Bukit Jalil, (kita) ke Bukit Bauk," kata Zahari Othman.

Kepulangan semula Ott dilihat dapat membantu Terengganu memenuhi kouta pemain import Asia Tenggara.

"Sebenarnya nak cari pemain kouta Asia Tenggara yang sesuai dengan permainan pasukan ni payah. Ott kira terbukti dan berkesan. Kira ada pilihan di bahagian tengah menyerang," ujar penyokong bernama Syukur Saleh.

"Salah seorang pemain tengah menyerang yang terbaik," kata Zelan Mansor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram