[VIDEO] 'Tackle' lewat hampir ubah aksi liga Thailand jadi gelanggang tomoi


  • Podium
  • Ahad, 10 Mac 2024

Tangkap layar selepas Womkiat (rambut oren) dileraikan setelah tercetusnya insiden hangat antaranya dengan Warakorn.

NASIB malang terus dialami Customs United dalam saingan liga kedua Thailand selepas mereka mengalami kekalahan ke-16 musim ini di tangan Nakhon Ratchasima pada Jumaat.

Tiga gol lawan yang masing-masing dijaringkan Aung Kaung Mann, Greg Houla dan Deyvison Fernandes untuk pelawat menyaksikan Customs United tewas dengan keputusan 1-3 di laman sendiri.

Keputusan itu memastikan pasukan berkenaan kekal di tangga ke-17 liga hasil kutipan 18 mata dengan hanya empat perlawanan berbaki buat mereka.

Namun, aksi di Stadium Lat Krabang 54, Thailand itu diwarnai kehangatan kedua-dua pemain ketika permainan memasuki minit ke-73.

Insiden berkenaan tercetus ketika bek kiri Customs United, Warakorn Thongbai hampir dijatuhkan pemain gantian lawan, Somkiat Khun.

BACA LAGI: Cheng Hoe tewas kali pertama di Thailand, ramai mula pasrah andai Police Tero 'tenggelam'

BACA LAGI: Perpindahan Cheng Hoe ke Thailand buka mata negara luar — Penganalisis

Terjahan lewat itu menyaksikan pemain tuan rumah tersebut berang dan cuba menyerang lawannya berkenaan sehingga memaksa pemain lain cuba meleraikan keadaan.

Meskipun tidak mengalami sebarang impak daripada kekasaran itu, Warakorn pastinya berang memandangkan kelabnya ketika itu ketinggalan 1-2.

Kegagalannya untuk mengawal emosi turut menyaksikannya dilayangkan kad kuning dengan Somkiat serta seorang lagi pemain Customs United, Praweenwat Boonyong juga mengalami nasib sama.

Kesedihan sekali lagi dilanda tuan rumah apabila Deyvsion menjaringkan gol ketiga buat Nakhon Ratchasima yang memastikan tiga mata buat mereka.

Sekiranya nasib Customs United tidak berubah pada minggu-minggu mendatang, mereka berdepan risiko tergelincir ke divisyen ketiga Thailand dengan empat mata diperlukan untuk mengeluarkan pasukan itu dari zon penyingkiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram