KEPUTUSAN Tan Cheng Hoe untuk mencuba nasib di Thailand pada awalnya menimbulkan pelbagai persoalan apabila dia menyertai kelab bergelut, Police Tero.
Selain berdepan krisis kewangan dan pengurusan, prestasi mereka di atas padang turut mengecewakan kerana mereka kini berada di tangga ke-14 selepas 21 perlawanan.
Namun, teka-teki berkenaan segera terpadam setelah jurulatih berusia 55 tahun itu berjaya menamatkan rentetan tiga kekalahan mereka dalam saingan Liga Thailand.
Keputusan seri ketika berdepan Nakhon Pathom pada 2 Mac lalu sedikit sebanyak membuka mata penyokong Police Tero mengenai mutu dimiliki Cheng Hoe.
Tetapi, nafas baharu yang cuba disuntik seakan-akan mula terpadam setelah kelab Thailand itu tewas buat kali ke-11 musim ini pada Jumaat.
BACA LAGI: Kenali Mano Polking, calon terbaik ganti Tan Cheng Hoe duduk kerusi panas Selangor musim depan
Police Tero mengalami kekalahan ke-11 dalam Liga Thailand musim ini di tangan Prachuap. — Facebook/Police Tero FC
Dalam perlawanan berdepan Prachuap di tempat lawan, Police Tero tewas 0-2 menerusi jaringan Kasidech Wettayawong dan Chutipol Thongthae pada babak pertama permainan.
Kekalahan berkenaan menyaksikan skuad kendalian Cheng Hoe kekal dalam zon penyingkiran dengan hanya 20 mata dikutip setakat ini.
Situasi itu menyebabkan rata-rata penyokong mula beranggapan kehadiran bekas pengendali Harimau Malaya terbabit tidak dapat membantu mengubah nasib pasukan berkenaan.
"Tiada apa boleh dibuat untuk menyelamatkan kelab ini jika sikap pemain berterusan seperti ini. Jika anda mencari jurulatih baharu sekali pun, ia tidak berguna lagi," kata Wayne Ho.
BACA LAGI: Perpindahan Cheng Hoe ke Thailand buka mata negara luar — Penganalisis
Harapan Police Tero kekal dalam liga utama Thailand semakin malap ketika ini. — Facebook/Police Tero FC
"Pemain terkenal dan berkualiti di Thailand pernah beraksi bersama Police Tero, tetapi kini mereka akan tersingkir ke divisyen kedua. Inilah dikatakan karma," kata Chet Wat Koh.
"Pemain muda yang ambil kelas permulaan dalam bola sepak tapi kena bayar mahal pun mampu bermain lebih baik daripada anda," kata Chang Go.
Police Tero sebelum ini pernah tersingkir ke divisyen kedua atau dikenali sebagai Liga T2 pada 2018 sebelum berjaya bangkit pada musim seterusnya.
Namun, sekiranya nasib sama berulang tahun ini, ia pasti akan menyebabkan penyokong mula kecewa akan cara pengurusan yang sering mengambil keputusan meragukan.
Ia akan sekali gus menconteng arang terhadap reputasi Cheng Hoe yang merupakan jurulatih tempatan pertama di Liga Thailand setelah bertahun-tahun membina legasi dalam Liga Super dan skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram