Risau tiada aksi kompetitif, Harimau Malaya jumpa pasukan ke-175 dunia sebelum ke Oman


  • Podium
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Pan-gon mengesahkan skuad kebangsaan akan menentang Nepal sebagai aksi pemanas badan sebelum berdepan Oman. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya disahkan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Nepal sebelum aksi getir menentang Oman bagi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 26 Mac ini.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat kritikan hebat daripada penyokong selepas dikatakan tidak akan melakukan sebarang perlawanan persahabatan untuk memanaskan 'enjin' para pemain sebelum terbang ke Oman.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon bagaimanapun menyangkal tuduhan berkenaan dan menjelaskan aksi berdepan Nepal akan berlangsung secara tertutup di Lembah Klang pada 15 Mac ini.

"Kami akan mengharungi satu aksi persahabatan pada 15 Mac menentang Nepal. Ia merupakan perlawanan tertutup sebelum kita terbang ke Oman. Aksi berkenaan dianggap sebagai persediaan bagi menentang Oman," katanya.

Pan-gon berkata demikian kepada media sebelum sesi pertama kem latihan pusat di Wisma FAM pada Jumaat.

BACA LAGI: Harimau Malaya bakal 'tempang' tanpa persiapan menjelang aksi bertemu Oman?

kpg 2

Pemain negara sudah melaporkan diri ke kem latihan Harimau Malaya pada Jumaat. Facebook/FAM

BACA LAGI: Ulang kesilapan di Qatar, pakar gusar apa nasib Harimau Malaya berdepan Oman

Aksi pemanas badan berjumpa pasukan ke-175 dunia itu dibuat bagi membantu para pemain memperbaiki prestasi masing-masing dek tiada aksi kompetitif berlangsung sejak Piala Asia pada Januari lalu.

Hanya pasukan Sabah FC sahaja yang baru selesai perlawanan kompetitif sekitar Februari lalu selepas tewas 0-3 kepada kelab Australia, Macarthur FC di Stadium Sukan Campbelltown, Australia pada peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC.

"Selepas kejohanan Piala Asia sampai sekarang tiada perlawanan. Ada kelab yang tak mula lagi pra musim. Maksudnya, dari segi prestasi semua kita dah ke belakang. Perlawanan pula dalam Ramadan.

"Apa-apapun saya ucapkan terima kasih kepada kelab yang memberi peluang untuk panggil pemain awal. Kami tahu ini bukan dalam tempoh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa). Sekurang-kurangnya dah boleh mula latihan sebelum perlawanan sebenar," tambahnya.

Pasukan negara bakal berdepan Oman dalam aksi ketiga dan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di tempat lawan pada 20 Mac sebelum perlawanan di laman sendiri enam hari kemudian.

Anak-anak buah Pan-gon bakal memulakan sesi latihan pada 8 Mac, namun pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya akan melaporkan diri pada 15 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram