Kekal di SNBJ, fans HM percaya keadaan padang boleh bantu raih 3 mata lawan Oman


  • Podium
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Pentas konsert Ed Sheeran yang dibangunkan di tengah-tengah padang SNBJ sebelum ini, sekali gus mencetuskan polemik menjelang aksi berdepan Oman.

PERDEBATAN mengenai venue perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman pada 26 Mac ini sudah menemui jawapannya apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di Kuala Lumpur kekal menjadi pilihan.

Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan pada Jumaat selepas badan induk berkenaan sudah melakukan lawatan di padang SNBJ pada Khamis.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya telah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis, 7 Mac.

"Turut serta Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga Ahli Lembaga Pengarah PSM; Noor Azman; Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi serta pihak konsultan teknikal serta kontraktor padang tersebut.

"Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: Pertama kali dipanggil HM, Safwan Mazlan mahu namanya terselit berdepan Oman

BACA LAGI: Tenaga pakar jadi solusi PSM elak 'tragedi' padang SNBJ berulang

Sebelum ini, keadaan padang gelanggang rasmi Harimau Malaya itu menjadi topik hangat diperdebatkan dalam kalangan penyokong kerana konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran menyaksikan pentas diletakkan di tengah padang.

Gara-gara bimbang jika keadaan padang tidak mengizinkan, FAM sendiri pernah mencadangkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu menjadi dua pilhan utama sebagai venue alternatif.

Dalam pada itu, penyokong juga menyambut baik keputusan badan induk itu mengekalkan SNBj sebagai venue dan optimis bahawa SNBJ dapat membantu pasukan kebangsaan memperoleh tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Oman.

"Ada kelebihan kepada pasukan Malaysia. Padang berbelang dah biasa. Oman akan dapat masalah, padang tidak rata," kata penyokong Harimau Malaya, Muzz Fitri.

"Jangan risau semua. Malaysia memang terbukti lebih padu atas padang berlumpur," bagi penyokong skuad kebangsaan, Wak Muhammad Jamalullail.

"Aura main di SNBJ ini memang membantu Harimau Malaya menang," tambah penyokong Harimau Selatan, Izzuddin Ramli.

Walaupun maklum balas daripada penyokong itu ada yang berbaur sarkastik namun tiada siapa yang boleh menafikan bahawa aura SNBJ sememangnya membantu Harimau Malaya untuk beraksi lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram