BADAN induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan amaran keras buat mereka yang gemar untuk melakukan kekecohan di perlawanan bola sepak dengan mengatakan bahawa tindakan keras akan menanti mereka.
Hal ini kerana, FAM tidak mahu memberi sebarang kompromi kepada pelaku yang menimbulkan kekecohan terutamanya apabila mereka menyerbu padang dan menyerang pegawai perlawanan.
Memetik laporan Stadium Astro, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Asisten Komisioner (B) Md Dali Wahid menegaskan yang aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan badan induk itu.
Md Dali mengatakan yang isu keselamatan sering terjadi ketika perlawanan kejohanan seperti Piala Belia dan Piala Presiden. Dengan perlawanan dua kejohanan tersebut sering diadakan di stadium terbuka serta berkapasiti rendah, peluang untuk berlaku perkara tidak diingini adalah tinggi.
BACA LAGI: Misteri klu bendera Brazil terjawab, Penang bawa masuk Rodrigo Dias kuatkan serangan
BACA LAGI: Assifuah ada pilihan sertai seteru Sang Kenari, hidupkan 'Kedah Connection' bersama King Dayo
"Apaila main di padang terbuka seperti tahun lepas, ada insiden yang tak diingini contohnya pergaduhan, ada juga memukul pengadil, jadi kita tak nak perkara sama berlaku dan akan ambil tindakan tegas.
"Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan sentiasa berada di lokasi perlawanan untuk memantau keselamatan," kata Md. Dali.
Musim lalu, terdapat insiden yang menyaksikan pegawai perlawanan menjadi sasaran dan itu telah menimbulkan kegusaran terhadap tahap keselamatan ketika aksi Piala Presiden dan Piala Belia diadakan.
Selain daripada itu, terdapat juga insiden pergaduhan yang dilihat mencemar reputasi dua kejohanan peringkat umur tersebut.
Sudah pasti, FAM tidak mahu perkara itu berulang kerana jika ia tidak dapat dibendung pada perlawanan peringkat umur, ia berpotensi untuk merebak ke tahap senior pada masa akan datang.
Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan emosi tidak menguasai diri ketika perlawanan diadakan. Tidak kira sama ada pemain, jurulatih, pegawai pasukan atau penonton seharusnya menjaga kelakuan agar tiada insiden buruk berlaku baik di dalam atau luar padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram