SELEPAS berteka-teki, akhirnya kelab Liga Super, Penang FC berjaya mendapatkan penyerang baharu iaitu Rodrigo Dias.
Penyerang kelahiran Brazil itu menyertai Harimau Kumbang bagi menggantikan Abdul Abdeen Temitope yang meninggalkan kelab itu musim lalu.
Dias mencuri tumpuan pengendali Penang FC, Akmal Rizal Rakhli, yang menyaksikan persembahannya ketika bermain untuk kelab Khaitan dalam Liga Perdana Kuwait musim lalu.
Akmal, yang merupakan penyerang lincah semasa zaman kegemilangannya berkata, pemain dari Governador Valladares itu mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk mengetuai jentera serangan pasukan.
“Saya banyak menonton sorotan dan juga perlawanan penuh ketika dia bermain untuk Khaitan dan beraksi di Liga Vietnam untuk pasukan seperti Da Nang dan Nam Dinh.
“Dia mempunyai sentuhan penyerang dan penyudahnya yang juga cukup baik. Dia menepati kriteria saya sebagai penyerang. Saya boleh katakan ini, dia sesuai dengan gaya permainan yang saya mahukan. Saya harap dia membawa banyak impak positif," katanya.
BACA LAGI: Bukan Igor Postonjski, Tomislav kekal DNA Croatia ganti Habib Haroon ‘permanently’
Kehadiran Dias ke skuad Harimau Kumbang dijangka bakal membuat perubahan besar jentera serangan Penang FC. — Facebook/penangfc
BACA LAGI: Misteri klu bendera Brazil terjawab, Penang bawa masuk Rodrigo Dias kuatkan serangan
Di samping itu, Akmal mendedahkan bahawa kelab itu dalam misi mencari seorang lagi pemain import untuk mengisi kekosongan bahagian tengah.
Difahamkan, Penang hanya membawa masuk tiga import untuk musim baharu kerana mahu berhemat dengan kewangan dan mahu memberi peluang kepada pemain tempatan beraksi dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Saya perlu bekerja keras untuk membentuk pasukan yang baik kerana kekangan bajet. Ia sukar tetapi tiada yang mustahil. Saya mempunyai kepercayaan kepada pemain tempatan yang saya ada dalam skuad.
“Kami telah menandatangani pemain sayap, Muhaimin Izuddin yang merupakan antara pemain muda terbaik di negara ini.
"Kemudian kami turut membawa pemain tengah Khairu Azrin Khazali, penjaga gol Sikh Izhan Sikh Nazrel Azman, pemain sayap, Nabil Latpi dan Al-Hafiz Harun, yang saya percaya akan menstabilkan skuad dan membimbing beberapa pemain muda yang saya miliki dinaikkan pangkat daripada skuad Pulau Pinang II," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram