Legenda Kedah titip nasihat berguna buat pemain, perlu kuatkan tauhid walaupun main bola


  • Podium
  • Khamis, 21 Dis 2023

Azmeer Yusoff (tengah) menasihatkan pemain untuk kuatkan pegangan tauhid mereka. — Facebook/KDA FC

ADAT menjadi seorang pemain bola sepak, ada masanya akan menikmati kemenangan, tak kurang juga merasai kekalahan.

Namun, situasi tersebut adalah lumrah biasa menjadi pemain bola sepak, sebenarnya ia lebih daripada itu. Realiti menjadi pemain bola sepak sebenarnya lebih menyakitkan berbanding apa yang terlihat dari kaca mata sebagai penyokong.

Situasi sukar, turun naik dalam karier seorang pemain memerlukan ketahanan mental yang tinggi. Jika tidak mampu untuk berdepan dengan situasi sukar, satu-satu pemain akan mengalami masalah untuk bangkit dalam kariernya.

Dan menurut bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA), Azmeer Yusoff, satu-satu pemain yang beragama Islam haruslah mempunyai pegangan tauhid yang tinggi supaya dapat mengharungi waktu sukar dalam karier.

Selangor player, Ugochukwu Ukah (left) trying to touch Kedah players, Azmeer Yusof from bring the ball during on Super League match at Darulaman Stadium tonight. IRSYADI ISMAIL/ THE STAR

Azmeer (kanan) ketika mewakili KDA satu masa dahulu. — Irsyadi Ismail/The Star

"Jadi pemain bola sepak ni kau kena kuatkan kau punya TAUHID kepada ALLAH. Kau pemain bagus tapi jurulatih letak kau di bangku simpanan. Kau komited dalam pasukan tapi kadang-kadang jurulatih tak letak kau dalam senarai skuad 18 pemain.

"Kau perform sepanjang tahun tapi akhirnya pasukan tak sambung kontrak. Kau pemain berpengalaman tapi gaji lebih rendah daripada pemain yang baru main bola. Kau dan pasukan dah all out gila-gila, tapi tak menang.

"Kau dan pasukan sepak ke gol 20 kali, tapi pihak lawan sekali je sepak terus masuk gol. Kau buat latihan tambahan berbanding pemain lain, tapi tak cukup untuk tackle hati jurulatih. Kau masuk perlawanan akhir tiga kali, sekali pun tak jadi juara," kata Azmeer di laman Facebook miliknya.

Azmeer menitipkan nasihat berguna itu kerana tidak mahu melihat lebih ramai pemain muda yang baru memulakan karier untuk tidak cepat mengalah dalam usaha mencipta kejayaan.

Apa yang penting adalah memberikan usaha dengan sehabis baik sebelum menyerah dalam perjuangan memburu kejayaan.

"INSHAALLAH ada bakal pemain baca (nasihat) ni. Secara tak langsung depa bertauhidkan ALLAH dalam bidang bola sepak ni.

"Sebelum menyerah, ingat (yang) usaha itu kita punya. Jadi, usaha dulu sebelum menyerah dan berserah," ujar Azmeer.

Azmeer tidak lagi bermain bola sepak secara profesional. Sebaliknya, dia kini berkhidmat sebagai jurulatih sebuah kelab di Selangor iaitu Trinity FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram