'Dah banyak kali cakap', Fandi Ahmad tak gembira prestasi Sri Pahang menurun setiap kali '2nd half'


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Sri Pahang FC masih dihantui masalah hilang fokus terutamanya di separuh masa kedua. — Facebook/Sri Pahang FC

JURULATIH Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mendedahkan bahawa dia masih tidak berpuas hati dengan skuadnya walaupun berhasil mendapatkan kemenangan dalam aksi Liga Super.

Pengendali dari Singapura itu berkata demikian selepas Tok Gajah berjaya menewaskan Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad IV dengan jaringan 1-5 pada Ahad.

Gol oleh Azrif Nasrulhaq, Kpah Sherman, David Rowley serta jaringan berganda Sergio Aguero membolehkan Sri Pahang FC kini menduduki tangga kelima Liga Super dengan mengutip 40 mata.

Bercakap selepas perlawanan, Fandi mengakui dia mempunyai perasaan bercampur baur apabila wisel penamat ditiupkan. Walaupun menang tetapi isu hilang fokus dalam kalangan para pemainnya masih menghantui mereka.

"Tentang perlawanan tadi (Ahad), kami rasa gembira kerana menang, kami amat perlukan tiga mata ini. Tapi (secara) keseluruhannya, permainan kami agak kurang.

"Bila kami sudah bermain dengan baik (di separuh masa pertama), dalam 15 minit terakhir kami benarkan Kelantan United kembali menguasai (perlawanan). Kami hanya bermain di bahagian bawah, melakukan hantaran dan kesilapan banyak di pertahanan," kata Fandi.

sri pahang (1)

Sergio Aguero menjaringkan dua gol bertemu Kelantan United FC. — Facebook/Sri Pahang FC

Fandi juga menambah yang para pemainnya tidak berjaya untuk 'membunuh' semangat juang Kelantan United FC hinggakan kelab tersebut mampu untuk memberikan saingan di babak kedua.

"Tugasan pada babak kedua lebih berat kerana kami terlalu mengundang mereka datang, seharusnya kami terus menyerang untuk mematikan semangat mereka dan (kami) ambil masa terlalu lama untuk menjaringkan satu lagi gol.

Dalam masa yang sama, Fandi juga mendedahkan dia dan skuadnya sudah beberapa kali duduk semeja mencari jalan untuk mengubati isu hilang fokus ketika beraksi.

sri pahang

Fandi mengakui sudah beberapa kali berbincang dengan skuadnya mengenai isu hilang fokus — Facebook/Sri Pahang FC

"Sebenarnya, saya sudah beberapa kali bercakap dengan para pemain mengenai perkara ini. Kalau pada separuh masa pertama bermain dengan baik, tapi di separuh masa kedua mesti akan menurun. Selalu begitu.

"Bagi saya, mereka harus ada disiplin dan fokus. Kerana apabila sudah mendahului, mereka terlalu santai dan hantaran mereka selalu ke belakang, ke penjaga gol. Dari situ, kita perlu kurangkan dan hantar bola ke depan tapi dengan hantaran pendeknya bukannya hantaran jauh," ujar Fandi.

Sri Pahang FC kini hanya dua mata di belakang Sabah FC dalam kedudukan Liga Super. Lebih menarik, Tok Gajah mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan dan berpeluang untuk memintas Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram