'Sisi gelap' Mano Polking bakal berulang jika sah diikat Selangor


  • Podium
  • Rabu, 06 Mac 2024

Polking menjadi calon teratas untuk mengendali Selangor pada saingan musim baharu ini. — Facebook/FTA

SELANGOR FC semakin hampir menyelesaikan krisis jurulatih mereka selepas difahamkan proses rundingan untuk membawa masuk Alexandre Polking atau dikenali sebagai Mano Polking sedang berlangsung antara kedua-dua pihak.

Perkembangan yang dikongsikan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam itu memberi sedikit nafas lega buat para penyokong Gergasi Merah selepas rata-ratanya terkedu dengan keputusan Tan Cheng Hoe meninggalkan Selangor sebelum saingan 2024/25 bermula.

Cheng Hoe yang sudah berhasil mengepalai pasukan Lembah Klang itu sehingga menempa tiket hingga ke saingan Liga Juara Asia-Asia Elite (ACLE) pada musim 2024/2025 membuat kejutan meninggalkan Selangor demi membantu kelab Thailand, Police Tero.

Jurulatih kelahiran Brazil itu sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Asia Tenggara apabila pernah melatih beberapa kelab di Vietnam bersama Ho Chi Minh City dan pasukan Thailand seperti Army United, Suphanburi F.C dan Bangkok United.

BACA LAGI: Tinggal tunggu 'done deal', Mano Polking bakal ikat kontrak bersama Selangor

polking isi

Polking membantu Bangkok United muncul naib juara Liga Thailand pada 2016 dan 2018. — Facebook/FTA

Selain mengendali beberapa kelab terkenal di rantau ini, Polking juga membantu Thailand menjuarai dua Kejohanan Piala Asean 2020 dan 2022 ketika dia menjadi jurulatih skaud Gajah Perang untuk tempoh tiga tahun sejak 2021.

Kisah manis pengendali kelahiran Brazil itu memberi kejayaan kepada beberapa pasukan membuatkan ramai penyokong Gergasi Merah turut bersetuju jika pengurusan meletakkannya sebagai calon utama untuk melatih naib juara Liga Super 2023 itu.

Namun, dalam sejarah pengendali berusia 47 tahun itu menjadi tulang belakang Thailand, beberapa sisi gelap pernah menjadi sorotan Polking dan kekurangan berkenaan boleh memberi kesan sekiranya dia berhijrah ke Selangor.

Oleh itu, kali ini Majoriti cuba merungkai sisi gelap ataupun cerita pahit yang pernah dikaitkan dengan Polking;

1) Tidak bijak manfaat pemain dari 'kolam' lain

WhatsApp Image 2024-03-05 at 20.35.49

Thailand pernah terkandas ke final Piala Raja-Raja Thailand ketika menentang Malaysia pada 2022. — Agensi

Polking pernah mendapat kritikan hebat daripada penyokong apabila banyak bergantung kepada pemain-pemain dari dua pasukan gergasi Thailand iaitu Chonburi FC dan Buriram United FC bagi setiap kejohanan berlangsung.

Pemain seperti Theerathon Bunmathan, Pansa Hemviboon, Kritsada Kaman, Channarong Promsrikaew, Supachai Chaided dan Suphanat Mueanta antara pemain regular yang sering dipanggil ke kem berpusat pasukan Gajah Perang.

Kritikan hebat itu semakin dibincangkan penyokong apabila skuad kendalian Polking tewas di tangan Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 dalam aksi Kejohanan Piala Raja Thailand 2022.

Kekalahan memalukan di laman sendiri itu didakwa berlaku kerana keletihan melanda pemain dek jadual padat bersama kelab dan perlu meluangkan masa untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Thailand.

Sekiranya berhijrah ke Gergasi Merah, sikap hanya menggunakan pemain kegemaran itu perlu dielak berlaku dalam pasukan Selangor kerana barisan ubi muda juga perlu mendapat minit permainan selayaknya.

BACA LAGI: Selangor nampaknya ada pencabar, Park Hang-seo juga jadi idaman dari Indonesia

2) Pernah kritik Liga M, 'cow grass'

WhatsApp Image 2024-03-05 at 20.49.43

Stadium MBPJ kekal sebagai venue utama buat skuad Selangor FC bagi saingan Liga M dan ACL2 musim hadapan. — Agensi

Dicanang bakal jurulatih Selangor FC tapi pernah kritik Liga Malaysia (Liga M). Polking pernah mengeluarkan pendapat bahawa Liga M masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Liga Thailand dari segi kompetitif dan kemudahan infrastruktur tempat latihan.

Selain dua faktor berkenaan, jenis padang yang digunakan oleh kebanyakan stadium di Malaysia juga dianggap tidak sesuai dengan bola sepak moden lagi-lagi jika kelab berkenaan menggunakan cow grass.

"Malaysia mempunyai lebih ramai peminat berbanding di Thailand dan ada stadium yang bagus, tetapi padang perlu menjadi lebih baik.

“Malaysia masih menggunakan rumput lama (cow grass), ia tidak sesuai untuk bola sepak moden. Apabila hujan, bukan mudah untuk bermain,” katanya memetik laporan The Star pada 2020.

Selangor yang masih menggunakan padang jenis cow grass pada musim ini pasti menjadi salah satu ujian buat Polking menyesuaikan diri dengan padang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan mengalami kesukaran untuk mempamerkan corak permainan sebenarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram