KEPUTUSAN mengejut Tan Cheng Hoe meninggalkan Selangor FC pada awal minggu ini menimbulkan seribu tanda tanya sehingga banyak yang mempersoalkan keputusannya menyertai pasukan belasahan Liga 1 Thailand, Police Tero.
Pengendali kelahiran Kedah tersebut kini berdepan tugas getir untuk memulihkan Police Tero yang ketika ini menghuni tangga ke-14 daripada 16 pasukan Liga 1 Thailand dengan merekodkan 10 kekalahan, empat seri dan lima kemenangan.
Rentetan perpindahan berkenaan, Selangor juga difahamkan sedang mempertimbangkan beberapa nama pengganti dan antara pengendali yang diharapkan oleh para penyokong ialah bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon juga tidak menolak sekiranya pengendali yang dikenali sebagai 'pakar strategi Korea' itu akan menjadi pengganti Cheng Hoe.
Selangor bagaimanapun mendapat pencabar dalam misi memikat Hang-seo bagi menggantikan Shin Tae-yong yang difahamkan kontraknya akan tamat pada Jun 2024 dengan Persekutuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).
BACA LAGI: 'Dah stabilkan kapal', filosofi TCH elemen wajib dimiliki pengendali baharu Gergasi Merah
Cheng Hoe kini menjadi jurulatih tempatan pertama mengendali kelab luar negara. — Agensi
BACA LAGI: Cheng Hoe lepaskan jawatan, kenapa mahu salahkan JDT?
PSSI masih tidak mahu memuktamadkan masa depan jurulatih Tae-yong dan pengendali itu juga pernah memberi bayangan akan meninggalkan Indonesia untuk mengambil tugas kejurulatihan di pasukan lain.
"Jurulatih Park Hang-seo memberi sumbangan besar untuk membantu pasukan Vietnam mencapai pelbagai kejayaan. Selama ini, jurulatih Park Hang-seo juga dianggap sebagai lawan yang susah buat pasukan Indonesia.
"Jurulatih Park Hang-seo tidak lagi mengetuai pasukan Vietnam dan hanya mengambil peranan sebagai penasihat di Kelab Bac Ninh pada kejohanan itu di Vietnam," memetik laporan surat khabar Indonesia, Suara, yang berharap agar Hang-seo menjadi pengganti Tae-yong.
PSSI dikatakan mahu memantau keputusan pasukan Indonesia Bawah 23 (B-23) pada Kejohanan Asia B23 yang berlangsung pada April di Qatar bagi menentukan masa depan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.
Dalam kejohanan ini, Indonesia B-23 akan berada dalam kumpulan yang sama dengan Australia, Qatar dan Jordan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram