BEKAS jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Alexandre Polking atau dikenali sebagai Mano Polking berpotensi menjadi kepingan puzzle terakhir yang dicari Selangor FC bagi membantu mereka menempuh musim padat 2024/2025 ini.
Selepas pemergian Tan Cheng Hoe ke kelab divisyen pertama Thailand, Police Tero pada minggu lepas, pihak pengurusan Gergasi Merah pastinya melakukan mesyuarat tergempar untuk mencari pengganti pengendali kelahiran Kedah itu.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon juga sudah memaklumkan kepada media tempatan bahawa pihak pengurusan kelab sedang berusaha untuk mencari ketua jurulatih baharu Gergasi Merah.
Nampaknya proses mencari jurulatih yang sesuai meneruskan projek Cheng Hoe semakin hampir menemui jawapannya apabila difahamkan Selangor sudah berunding untuk mendapatkan khidmat Polking dalam masa terdekat ini.
Perkembangan terbaharu mengenai Selangor tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman X (Twitter) peribadinya pada Selasa.
BACA LAGI: Selangor nampaknya ada pencabar, Park Hang-seo juga jadi idaman dari Indonesia
Polking memiliki dua Kejohanan Piala Asean sepanjang tiga tahun bersama Thailand. — Agensi
BACA LAGI: Kenali Mano Polking, calon terbaik ganti Tan Cheng Hoe duduk kerusi panas Selangor musim depan
"Bekas jurulatih Thailand Mano Polking difahamkan antara calon jurulatih baharu Selangor untuk menggantikan Tan Cheng Hoe. Polking sebelum ini dapat tawaran kelab V. League 1 (divisyen satu Vietnam) Cong An Ha Noi. Negotiations ongoing," katanya.
Jurulatih kelahiran Brazil itu sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Asia Tenggara apabila pernah melatih beberapa kelab di Vietnam bersama Ho Chi Minh City dan pasukan Thailand seperti Army United, Suphanburi F.C dan Bangkok United.
Pencapaian cemerlangnya di peringkat kelab yang berhasil membantu membawa Bangkok United muncul naib juara Liga Thailand pada 2016 dan 2018 melonjakkan kariernya sehingga dipilih sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada 2021.
Sepanjang tiga tahun bersama skuad Gajah Putih, Polking membantu Thailand menjuarai dua Kejohanan Piala Asean 2020 dan 2022 dan khidmatnya dihentikan pada November 2022 oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).
Pengalaman dan pencapaiannya yang pernah membantu beberapa pasukan termasuk skuad kebangsaan Thailand membuktikan pengendali berusia 47 tahun itu berkemampuan memnbantu Gergasi Merah meraih keputusan lebih positif di peringkat domestik dan kempen sukar saingan ACL2 2024/25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram