[VIDEO] 'Hoki ada Anugerah Puskas tak?', gol legenda Terengganu sama ‘hype’ macam Faisal Halim


  • Podium
  • Isnin, 04 Mac 2024

Faizal (jersi hitam) beraksi untuk Terengganu Hockey Team dalam Piala TNB 2024 pada Ahad. — Facebook/MHC

JIKA anda merupakan seorang pengikut sukan hoki, pastinya mengenali dengan pasukan yang diberi nama Terengganu Hockey Team (THT) ini.

THT merupakan salah sebuah pasukan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) yang sering menguasai perebutan kejuaraan bersama-sama Maybank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pasukan THT pula dibarisi oleh seorang pemain kebangsaan yang cukup berpengalaman dan berstatus legenda iaitu Faizal Saari.

Pemain tersebut membuktikan yang dia memang legenda hoki negara apabila menghasilkan gol cantik ketika THT membenam cabaran wakil China, Liaoning Hockey Club dalam saingan Piala TNB 2024 menerusi agregat 9-2 pada Ahad.

Dalam perlawanan tersebut, Faizal mencipta sensasi apabila menghasilkan gol padang yang cukup menawan dengan menyungkit penjaga gol ketika jaringan ketiga THT.

Ketika berada betul-betul di depan penjaga gol Liaoning, Faizal yang sedang membawa bola kemudiannya menyungkitnya menggunakan kayu hoki.

BACA LAGI: Pernah dianggap superhero Tok Gajah dek ranapkan impian JDT, Khairul Azhan kini hanya pilihan kedua Gergasi Merah

BACA LAGI: Sri Pahang antara 3 kelab bernafsu sailang Ifedayo sebelum sah 'digari' The Cops

Dia kemudiannya menimang bola tersebut sebanyak tiga kali sebelum melambungkannya melepasi penjaga gol untuk THT berjaya mendapatkan jaringan ketiga.

"(Dia) melakukan sungkitan. Satu, dua, tiga (bola) dihantarkan ke dalam gawang," kata pengulas Firdaus Musa ketika siaran langsung perlawanan itu di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Jaringan tersebut nyata mendapat perhatian ramai dengan pujian diberikan buat legenda hoki negara tersebut.

"Hoki ada Anugerah Puskas tak? Cantik betul gol dari Faizal Saari!," kata akaun Terengganu11 di laman X (Twitter).

"Dari dulu mesti ada gol banger, tahniah legenda!," kata penyokong bernama Aiman Zamil pula.

"Classic Faizal Saari," ujar Wafiy Musa.

Gol Faizal itu mempunyai seninya yang tersendiri, sama seperti jaringan Faisal Halim untuk skuad Harimau Malaya ketika di Piala Asia 2023 ketika berdepan Korea Selatan yang diangakt sebagai gol terbaik kejohanan.

Jaringan tersebut terhasil ketika THT menang 4-0 ke atas Liaoning dalam perlawanan kedua suku akhir Piala TNB 2024 pada Ahad.

THT mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 9-2 selepas menang 5-2 pada aksi pertama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram