
DUA penyerang berketinggian lebih 1.90 meter (m) bakal menjadi pertaruhan Terengganu FC (TFC) untuk menghadapi saingan musim baharu Liga Super.
Penyerang Croatia, Ivan Mamut, yang berketinggian 1.92m, kini mempunyai seorang lagi gandingan dalam serangan iaitu pemain kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade.
Akinade, yang berketinggian 1.90m itu mula menyertai skuad Sang Penyu dari kelab Pantai Timur, Kelantan United FC untuk musim baharu.
Dengan kehadiran kedua-dua mereka, Terengganu bukan sahaja bergantung kepada kreativiti pemain sayap, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid tetapi hantaran silang dan set-piece harus digunakan sepenuhnya dengan Mamut dan Akinade di hadapan.
Kehadiran beberapa wajah baharu terutamanya pemain di bahagian serangan membuatkan Mamut tidak sabar untuk bermain dan berkerjasama dengan pemain-pemain ini.
BACA LAGI: Atlet silat SUKMA Terengganu maut ketika bertanding, KBS tunggu siasatan PESAKA
Akinade (kanan) menyertai TFC pada Februari lalu. — Facebook/TerengganuFC
"Terengganu adalah kelab yang ingin meningkat setiap tahun dan anda boleh lihat pemain yang mereka rekrut. Saya tahu ketiga-tiga pemain ini bagus, telah menunjukkan kualiti mereka dalam liga. Bagi Akhyar dan Safawi, mereka adalah pemain penting negara.
"Bagi orang yang menggelar saya dan Ismaheel sebagai 'The Twin Towers', saya tidak sedar perkara itu tetapi saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya tetapi semuanya bergantung kepada taktik jurulatih.
"Ia akan menjadi musim yang panjang dan semua pemain perlu bersedia untuk pasukan. Sama ada saya seorang, Ismaheel sendiri atau kami berdua bersama, pasti kami akan memberikan yang terbaik untuk kelab ini.
"Saya percaya keputusan yang baik akan berlaku kepada kelab ini dan matlamatnya adalah untuk memperbaiki persembahan kami dari musim lepas," katanya.
BACA LAGI: Baju latihan Terengganu diciplak, Al-Ikhsan tak lantik ejen, lambang jadi bukti jersi ori
Akhyar (kiri) dan Safawi (kanan) merupakan pemain pinjaman dari JDT. — Facebook/TerengganuFC
Mamut adalah penjaring terbanyak pasukan musim lalu dengan menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan dan kehadiran pemain-pemain baharu itu membuatkan ramai menjangka dia boleh menjaringkan lebih banyak gol untuk musim baru.
Pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun enggan memberi tekanan kepada dirinya sendiri.
"Saya tidak mahu meletakkan sasaran. Dengan berbuat demikian, saya memberi tekanan kepada diri sendiri. Jika saya menerapkan taktik jurulatih dengan baik dan memberikan yang terbaik, gol akan datang.
"Saya mahu melakukannya dengan baik untuk pasukan. Saya tidak boleh berfikir untuk beraksi sebagai seorang individu. Apa sahaja yang saya lakukan di atas padang, ia adalah untuk pasukan.
"Sama ada saya menjaringkan gol atau membantu, ia adalah untuk semua orang. Saya hanya mahu Terengganu menang," jelasnya.
Mamut kini sedang mengharungi sesi pra musim bersama pasukannya dan mengakui ini adalah kali pertama dia menjalani pra musim yang panjang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram