[VIDEO] Lepas ucap terima kasih Joe Rozi, Kedah bagi teaser interviu 'kekasih lama'


  • Podium
  • Isnin, 04 Mac 2024

Joe Rozi sah tinggalkan KDA FC dan menyertai pasukan Terengganu FC sebagai Pengarah Sukan. — Facebook/KDAFC

PADA Isnin, Kedah Darul Aman (KDA) FC membuat tindakan drastik dalam kalangan pemain import mereka apabila melepaskan lapan nama sekali gus.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab di Facebook, Kedah telah bersetuju untuk berpisah dengan Ifedayo Olusegun, Moses Etede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson, dan Jonathan Balotelli.

Bukan sahaja pemain import malah bekas pengurus Sang Kenari, Zul Fadzli Rozi yang pernah dikaitkan ke Terengganu FC sebelum ini sah meninggalkan kelab tersebut.

BACA LAGI: Biar jasa jadi kenangan cuma semusim, Sang Kenari ulangi lepaskan import ‘berjemaah’, kali ini 8 terus sekali jalan

Rizal Ghazali

Tangkap layar daripada hantaran Instastory Rizal yang seakan-akan memberi bayangan mengenai masa depannya.

"Terima kasih kepada Zul Fadli Rozi, koordinator pasukan Liga Super Kedah musim 2023 atas sumbangan dalam membina pasukan musim lepas.

"Pengalamannya cukup penting dalam meyakinkan beberapa pemain utama untuk mewakili Sang Kenari selain pernah mengendalikan ramai pemain import dalam sistem pasukan liga simpanan sebelum ini bersama Terengganu FC.

"Walaupun setahun bersama KDA FC, tanggungjawab dan dedikasi yang dipamerkan cukup penting dalam mengekalkan keharmonian pasukan ketika menongkah pasang surut beberapa isu yang melanda," tulisnya di Facebook.

BACA LAGI: Sri Pahang antara 3 kelab bernafsu sailang Ifedayo sebelum sah 'digari' The Cops

Bagaimanapun, dalam perkembangan lain, KDA FC turut berkongsikan video teaser seorang pemain yang dipercayai bekas bek kanan berpengalaman Sabah FC, Rizal Ghazali pada Isnin.

Berdasarkan khabar angin sebelum ini, Rizal atau lebih dikenali sebagai Jai berkenaan berminat untuk pulang semula ke Kedah supaya membolehkannya lebih dekat dengan keluarganya.

Perkara tersebut disahkan benar selepas Rizal dalam satu hantaran Instastory miliknya memaparkan dia sedang menyarung jersi serba hijau sambil menyembunyikan lencana di baju tersebut pada Ahad.

Malah, hantaran itu dibuat berserta lagu baharu nyanyian Sarah Suhairi berjudul 'Sah' yang sekali gus mengesahkan khabar angin kini berlegar dalam kalangan penyokong skuad Sang Kenari.

Kedua-dua klu berkenaan sekali gus menguatkan khabar angin bahawa pemain berusia 31 tahun berkenaan terbuka untuk pulang menyertai skuad Sang Kenari.

Sebelum berhijrah ke Sabah pada 2022, Rizal pernah beraksi bersama Kedah pada musim 2014-2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram