KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman FC (Kedah) membuat tindakan drastik dalam kalangan pemain import mereka apabila melepaskan lapan nama sekali gus pada Isnin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab, Kedah telah bersetuju untuk berpisah dengan Ifedayo Olusegun, Moses Etede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson, dan Jonathan Balotelli.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab, kesemua pemain yang diambil telah menjalankan tugas baik dalam usaha memastikan Kedah berjaya menamatkan liga dalam kedudukan empat terbaik Liga Super.
Namun begitu, pengurusan Kedah mengambil pendekatan berbeza untuk musim 2024/2025 dan kesemua pemain tersebut terpaksa dilepaskan demi hala tuju baharu Sang Kenari.
"Terima kasih kepada lapan pemain import KDA FC musim 2023 atas sumbangan dan perjuangan hebat mereka kepada pasukan Liga Super Kedah Darul Aman FC sehingga menjadi empat pasukan terbaik liga.
"Prestasi cemerlang dan semangat juang yang dipamerkan dalam mengangkat mutu permainan Sang Kenari musim lepas dan memberikan impak positif kepada pasukan menjadi inspirasi kepada kita semua.
"Untuk musim baharu di saingan Liga Super 2024-2025, pihak pengurusan KDA FC membawa haluan berbeza dan mengucapkan selamat maju jaya buat semua pemain import bersama kelab baharu," kata Kedah.
Terdapat satu lagi nama yang tidak diumumkan iaitu ketua pasukan, Manny Ott. Statusnya kini menjadi tanda tanya kerana dia hangat dikaitkan dengan perpindahan semula ke bekas kelab iaitu Terengganu FC.
Tindakan yang dilakukan Kedah ini bukanlah kali pertama dibuat. Sebelum ini, Kedah pernah melakukan perkara sama pada musim 2022 apabila melepaskan lima pemain import sekali gus ketika itu.
Ketika itu, Mahmoud Al-Mardi, Ronald Ngah Wanja, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr dilepaskan oleh pengurusan Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram