NASIB penyerang sayap muda negara, T. Saravanan berubah menjadi lebih baik selepas dia akhirnya mendapat panggilan ke skuad senior buat pertama kali dan berhijrah ke ke Sri Pahang untuk musim Liga Super tahun ini.
Bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City FC itu berkongsi mengenai khabar gembira terpilih untuk menimba pengalaman bersama Kim Pan-gon dan perasaannya berhijrah ke pasukan baharu.
Saravanan adalah salah seorang daripada 33 pemain yang dipilih Pan-gon untuk menyertai kem latihan berpusat Harimau Malaya mulai 8 Mac bagi mempersiapkan diri menghadapi perlawanan ketiga dan keempat Kumpulan D kelayakan pusingan dua Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Harimau Malaya akan menentang pasukan kebangsaan Oman di Muscat, Oman pada 21 Mac dan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur empat hari kemudian.
“Ia adalah kali pertama saya bersama pasukan kebangsaan. Memang mengejutkan kerana saya sentiasa berada dalam senarai siap sedia tetapi kali ini, saya akan bersama pasukan senior.
“Saya pasti ia akan menjadi satu pengalaman untuk dinikmati kerana saya akan mempelajari modul permainan baharu di bawah jurulatih Kim dan juga berlatih dengan beberapa pemain berpengalaman di Harimau Malaya," kongsinya.
BACA LAGI: JDT pernah 'meluat' keputusan FAM sanggup tangguh game demi Pahang

Saravanan menandatangani kontrak selama dua musim iaitu 2024-2026 bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/SriPahang
BACA LAGI: Dilepaskan Negeri Sembilan, Sri Pahang dijangka nanti ketibaan Shahrel Fikri
Pemain Bawah 23 tahun negara itu juga bersedia untuk bermula semula dengan skuad Tok Gajah selepas bergelut dengan gaji yang tidak dibayar ketika berada di Kuala Lumpur pada musim lepas.
“Saya akan tinggal di Kuala Lumpur jika tunggakan gaji dibayar. Saya tetap bersabar tetapi apabila tiada maklumat terkini, saya perlu berpindah kerana saya perlu menjaga kehidupan dan keluarga saya.
“Saya gembira Pahang dapat memberikan tawaran yang tidak mungkin untuk saya tolak. Selain itu, belajar daripada jurulatih berpengalaman seperti Fandi Ahmad akan meningkatkan permainan saya. Saya gembira telah menandatangani kontrak bersama Sri Pahang," tambahnya.
Saravanan adalah salah seorang pemain sayap paling berharga dalam saingan Liga Super berkat persembahannya bersama skuad The City Boys dan juga dengan pasukan B-23 tahun negara.
Namun begitu, pemain berusia 23 tahun itu tahu bahawa tidak ada jaminan dia akan beraksi bersama skuad utama kerana terdapat tonggak sayap lain seperti Sean Selvaraj, Manuel Hidalgo dan Baqiuddin Shamsuddin.
“Saya bersaing dengan beberapa pemain sayap seperti Sean, Hidalgo, Baqiuddin dan beberapa pemain muda dalam skuad bawah 23 tahun Pahang. Saya tidak dijamin mendapat tempat.
“Saya mesti berlatih, melakukan yang terbaik dan melihat keputusan jurulatih. Saya tahu jika saya memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan, peluang itu akan datang," jelasnya. The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
