MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta-merta terhadap jurulatih yang didapati bersalah terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN.
MSN dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih para renang terhadap atlet di bawah jagaannya berdasarkan laporan media baru-baru ini.
“Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan jawatankuasa telah memulakan siasatan dengan segera termasuk menemu bual pihak-pihak yang berkaitan.
“Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terlibat,” menurut kenyataan itu.
BACA LAGI: Jurulatih berprofil tinggi akan tinggalkan kelab, nama Nafuzi Zain paling hot disebut
MSN akan mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta-merta terhadap jurulatih yang didapati bersalah terhadap dakwaan itu.
BACA LAGI: Lee Tuck mahu pulang? Serasi taktikal Tomislav tapi mungkin posisi tak terjamin
Dalam pada itu, MSN turut memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidak mencetuskan sebarang spekulasi mahupun maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet seliaan dan mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.
MSN turut menegaskan tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan seorang jurulatih para disiasat atas dakwaan gangguan seksual ke atas seorang atlet para bawah umur.
Presidennya, Megat D Shahriman Zaharudin dilaporkan berkata, laporan polis dibuat selepas menerima e-mel daripada Persatuan Renang Para Malaysia (MPSA) minggu lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram