UNTUK beberapa musim, penyerang dari Ghana iaitu Jordan Mintah telah pun bersama-sama dengan kelab Pantai Timur iaitu Terengganu FC.
Namun begitu, tempoh empat musim pemain tersebut di Pantai Timur seolah-olah tidak memberikan hasil apabila impaknya bersama kelab tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Kini telah pun dilepaskan oleh Terengganu, Mintah tidak mengikat kontrak dengan mana-mana kelab dan berkemungkinan masih lagi mencari peluang untuk terus kekal di Malaysia.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga potensi destinasi untuk Mintah sertai dalam Liga Super:
1. Kuala Lumpur City FC
Sebelum ini, Mintah pernah menyertai skuad Warga Kota secara pinjaman pada musim 2022. Perpindahan sementara itu dilihat peluang untuk Mintah menyerlahkan potensinya lalu meyakinkan pengurusan Terengganu.
Namun begitu, perpindahan sementara itu dilihat tidak begitu berhasil kerana sama seperti di Terengganu, Mintah kurang minit beraksi di KL City.
Akan tetapi, selepas dilepaskan oleh Terengganu, Mintah bebas ke mana saja. Oleh itu, dia boleh mencuba nasib untuk kembali dan meneruskan urusan yang tertinggal bersama skuad Warga Kota.
Dengan KL City mungkin akan berubah wajah, inilah peluang untuk Mintah masuk dan menjadi wira.
BACA LAGI: Pemenang Piala Dunia pernah tawar diri selamatkan bola sepak Malaysia
Mintah pernah beraksi untuk KL City secara pinjaman — MFL
2. Perak FC
Satu lagi destinasi yang boleh dipertimbang Mintah adalah untuk menyertai Perak FC kendalian Yusri Che Lah.
Perak dilihat sebagai salah satu destinasi yang sesuai memandangkan Perak telah kehilangan penyerang import daripada Korea Selatan iaitu Seo Seon-ung.
Dengan kualiti yang ada pada Yusri dalam mengeluarkan potensi tersembunyi dalam seseorang pemain, Perak boleh dilihat sebagai destinasi pilihan untuk Mintah kembali ke puncak kariernya.
Namun begitu, Mintah mungkin perlu bersedia dengan potensi pengurangan gaji yang ketara di Perak kerana The Bos Gaurus lazimnya tidak menawarkan bayaran tinggi buat pemainnya.
BACA LAGI: Terima undian 85 peratus, gol Faisal diiktiraf GOTT Piala Asia 2023
Yusri boleh mengeluarkan potensi Mintah di Perak. — Facebook/Perak FC
3. Kedah Darul Aman FC
Destinasi terakhir yang boleh dipertimbang oleh Mintah adalah dengan menyertai Kedah Darul Aman FC di bawah kendalian Nafuzi Zain.
Peluang untuk bersama semula dengan Nafuzi boleh direalisasikan sekiranya Mintah menyertai Sang Kenari sebagai penyerang baharu mereka. Hal ini kerana, kedua-dua pernah bersama ketika masing-masing berada di Terengganu.
Nafuzi pernah melatih Mintah di Terengganu. — Facebook/KDA FC
Dengan Kedah dijangka akan berwajah baharu dari segi pemilihan import, inilah peluang untuk Mintah menyelit di dalam senarai lalu mencuba nasib untuk bergelar bintang di Darul Aman.
Umur Mintah baru saja 28 tahun dan dia masih mempunyai peluang untuk membuktikan ketajamannya. Tetapi, ia adalah peluang terakhir untuknya. Jika gagal, potensi besar dimilikinya tidak berjaya dipenuhi seperti diharapkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram