[VIDEO] Gol lipat Safee Sali di Larkin buka jalan JDT julang kejuaraan Asia


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Safee (jersi hitam) melakukan sepakan gunting ketika bertemu East Bengal. — JOHOR Southern Tigers

SEPANJANG penubuhan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam bola sepak Malaysia, mereka telah mencatatkan pelbagai kejayaan yang boleh membanggakan penyokong.

Selain daripada kejayaan merangkul gelaran Liga Super untuk 10 kali berturut-turut, JDT turut menghasilkan detik gemilang pada 2015 yang belum dapat disamakan oleh mana-mana kelab lain di Malaysia.

Semuanya bermula menerusi sepakan gunting bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang menjadi permulaan kepada perjalanan JDT untuk menjadi juara Asia.

Dalam perlawanan pembukaan menentang East Bengal di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, JDT memulakan kempen Piala AFC dengan bergaya apabila menewaskan wakil India itu dengan jaringan 4-1.

JDT menghasilkan gol menerusi Nazrin Nawi pada minit ke-9 sebelum disamakan Ranti Martins pada minit ke-35. JDT kemudiannya berjaya mendahului menerusi gol Safiq Rahim empat minit kemudian.

BACA LAGI: Bukan sekadar 'ala ketik-ketik je', jurufoto otai kongsi pengalaman bermusuh dengan cuaca, rakam momen hebat Faisal Halim

BACA LAGI: PSM dah jawab isu rumput, tapi ada masalah lain SNBJ belum sedia aksi HM-Oman

S. Chanturu kemudiannya menambah jaringan ketiga JDT pada separuh masa kedua sebelum Safee menghasilkan detik gemilang dengan sepakan guntingnya menggegarkan penyokong di Larkin ketika itu.

Jaringan serta kemenangan yang diraih JDT itu telah membuka jalan kepada kejayaan Harimau Selatan apabila mereka berjaya layak ke perlawanan akhir menentang Istikol.

Gol oleh Leandro Velazquez sudah cukup untuk memberikan kejuaraan Piala AFC dan itu adalah kejayaan terhebat Harimau Selatan sehingga kini.

Melangkah ke hari ini, kejayaan tersebut tetap menjadi detik yang amat manis dalam sejarah JDT dengan masih tidak ada mana-mana kelab Malaysia berjaya melakukannya. Paling hampir adalah Kuala Lumpur City FC pada 2022 namun mereka tewas kepada Al-Seeb pada perlawanan akhir.

Safee pula telah pun bersara sebagai pemain profesional dan kini menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM). Selain itu, legasi Safee turut kekal sebagai penyerang moden Malaysia paling hebat pernah dihasilkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram