Gabungan menu makan kenduri 3 kaum jadi 'rencah' Destinasi Rasa 2024


  • Bizz
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Hidangan kambing merupakan menu wajib di Le Meridien.

SUDAH menjadi tradisi di negara kita apabila bersatunya dua jiwa menerusi ikatan perkahwinan, maka akan diadakan majlis kenduri untuk meraikannya.

Tidak kira bangsa, majlis pasti akan diadakan. Apabila satu majlis dilakukan, sudah pasti pelbagai juadah dan hidangan yang dijamu kepada tetamu.

Dalam satu-satu majlis, sudah pasti akan ada hidangan yang ikonik dan sentiasa disajikan setiap kali kenduri dilakukan.

Dan itulah kelainan yang cuba dibawa oleh Hotel Le Meridien Putrajaya menerusi Destinasi Rasa 2024.

Mengenakan tema Santapan Raja Sehari, Destinasi Rasa 2024 memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai masakan-masakan ikonik yang dihidangkan pada kenduri kahwin dari pelbagai kaum di Malaysia pada bulan Ramadan.

Menyediakan lebih 100 hidangan berbuka puasa bermula pada 12 Mac hingga 9 April 2024, Destinasi Rasa 2024 akan membuatkan pengunjung terpesona dengan hidangan untuk raja sehari dari kaum Melayu, Cina dan India.

Menurut ketua cef, Chan Chee Siong, tema Santapan Raja Sehari dipilih hasil daripada keputusan sebulat suara oleh dia dan anak-anak buahnya. Lebih menarik, teman itu hanya ada di cawangan Le Meridien Putrajaya dan tidak ditawarkan di lokasi lain.

Katanya, mereka ingin tampil berbeza apabila berbanding hidangan bufet yang sering ditawarkan sebelum ini.

"Setiap tahun, kita akan ada tema berbeza. Tapi tahun ini, kami ingin lakukan sedikit berbeza. Selepas sesi percambahan idea dan undian dilakukan, kami memilih untuk menjadikan Santapan Raja Sehari sebagai tema," kata Chee Siong kepada Majoriti.

BACA LAGI: Rasai pengalaman berkebun cuaca sejuk, ini 5 tempat menarik wajar anda kunjungi di Taiwan

photo_2024-02-24_00-13-43

Hidangan daging dendeng merupakan menu popular setiap kali Le Meridien mengadakan program bufet.

Kata Chee Siong, berbeza dengan tahun lalu, Destinasi Rasa 2024 menyaksikan kesemua hidangan dari majlis perkahwinan Melayu, Cina dan India adalah tarikan utama.

Secara tidak langsung, ia menjadikan kesemua stesen makanan merupakan tarikan utama berbanding apa yang mereka lakukan tahun lalu.

"Jika tahun lalu, kami menjadikan nasi kandar sebagai tarikan utama. Jadi, masa itu, semua pengunjung tertumpu kepada nasi kandar kerana ia adalah sajian utama.

"Tetapi kali ini, semua menu adalah sajian utama kerana kami menggunakan tema kenduri. Contohnya menu masakan kenduri perkahwinan Melayu, ada ayam masak merah, nasi minyak. Begitu juga dengan kenduri perkahwinan Cina dan India.

"Kalau nak pilih satu hidangan utama memang tak boleh sebab kita sertakan semua bangsa dalam menu kali ini. Tapi, hidangan Melayu seperti daging dendeng yang cukup terkenal kami tawarkan kepada pengunjung.

"Selain itu, ikan masak stim daripada menu kaum Cina serta paratha kambing oleh kaum India turut kami tawarkan," ujar Chee Siong lagi.

BACA LAGI: SeRenE raih pakej pembiayaan RM1.88 bilion projek hidrogen hijau

photo_2024-02-24_00-14-00

Manisan ala Barat turut disediakan buat para pengunjung.

Selain daripada itu, terdapat hidangan lain yang menjadi tumpuan seperti udang masak ros, kambing masak hijau, ikan tiga rasa, sup kambing mamak serta ayam tandoori.

Terdapat juga pelbagai manisan untuk memuaskan selera seperti aneka kuih Melayu, tapai ubi, sagu gula Melaka selain cendol dan ais krim durian.

Melihat kepada kejayaan penganjuran bufet pada tahun lalu, Chee Siong mengingatkan kepada pengunjung untuk cepat-cepat menempah meja mereka sebelum disambar orang.

"Tempah awal. Setiap tahun, tempahan pasti penuh setiap kali bulan Ramadan tiba dari awal hingga akhir.

"Terutamanya ketika minggu kedua dan ketiga Ramadan serta hujung minggu, bilangan yang datang pasti akan meningkat pada waktu tersebut. Jadi, tempah sekarang supaya tak terlepas meja anda," pesan Chee Siong.

Destinasi Rasa 2024 dengan tema Santapan Raja Sehari menyediakan lebih 100 hidangan enak bermula pada kadar RM188 untuk dewasa serta RM94 buat kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.

Namun begitu, anda boleh mendapatkan tempat dengan tempah awal menerusi kadar istimewa iaitu RM158 buat dewasa dan RM79 buat kanak-kanak sebelum 12 Mac 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram