Harumkan nama Malaysia, player SEM9 kongsi pengalaman bermain di Indonesia


  • eSports
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Pasukan SEM9 kini bakal diperkuatkan dengan kehadiran uHigh (depan). — Instagram/uhigh_ulhaq

PEMINAT sukan e-sports di negara ini, terutamanya bagi permainan 'PlayerUnknown’s Battleground’ (PUBG) pastinya cukup sinonim dengan nama pasukan SEM9 yang pernah memeriahkan permainan video berkenaan sebelum ini.

Manakan tidak, pasukan tersebut dijangka bakal menyambut kepulangan salah seorang pemain profesional yang pernah bermain di negara jiran iaitu Indonesia.

Sebut sahaja nama Muhammad Dhiya Ulhaq Mohd Arasz, pastinya ramai peminat PUBG mengenali individu tersebut.

Dhiya Ulhaq atau mesra dengan panggilan uHigh itu menjadi satu-satunya pemain profesional yang digeruni di Malaysia ketika ini.

Pemain berusia 20 tahun itu menjadi satu-satunya pemain yang pernah menggegarkan Malaysia apabila berhijrah ke negara jiran, Indonesia untuk melebarkan sayapnya dalam permainan video tersebut.

BACA LAGI: 'Makin ramai minat eFootball, tapi itu tak cukup jadikannya kompetitif'

WhatsApp Image 2024-02-23 at 21.05.40

uHigh ketika bermain bersama pasukan BTR di Indonesia. — Instagram/uhigh_ulhaq

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sekali, ini 5 insiden buat GTA siri permainan video paling kontroversi

Ditanya mengenai pengalaman sepanjang bermain bersama pasukan Bigetron (BTR) di Indonesia, uHigh berkongsikan cara pemainan pemain di negara itu.

"Menurut pengalaman saya beraksi di liga sana selama dua tahun, permainan mereka amatlah kompetitif.

"Banyak halangan dan pengalaman yang mendewasakan saya sebagai seorang player e-sport dan individu," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, meskipun berdepan cabaran dan halangan di negara jiran itu, uHigh bagaimanapun berpuas hati dengan perjuangan yang dilakukan olehnya untuk mengharumkan nama Malaysia.

"Tidak semua orang ada di posisi saya dan saya amatlah bersyukur dengan jalan serta rintangan yang dipilih untuk berjuang dan membanggakan nama Malaysia," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-02-23 at 22.32.05

Ketika beraksi bersama Geek Fam, uHigh membantu pasukannya itu bergelar juara PUBG Mobile Pro League Malaysia (PMPL). — Instagram/uhigh_ulhaq

Di samping itu, bekas pemain Team Secret dan Geek Fam itu turut berkongsikan perbezaan cara permainan di negara jiran dan tanah air.

"Antara perbezaannya sekarang ialah liga di sana sangat kompetitif dan lengkap, contohnya, mereka mempunyai banyak fasiliti dari segi organisasi pasukan.

"Selain itu, mereka turut menyediakan semua yang diperlukan oleh seorang player e-sport untuk membangunkan dan menjayakan scene e-sport di sana.

"Salah satu faktor mengapa saya kembali ke Malaysia adalah kerana faktor keluarga di samping perkara lain yang membuatkan saya masih mahu bermain di bawah naungan pasukan Malaysia," kongsinya.

Bukan itu sahaja, dengan pengalaman selama dua tahun bermain di Indonesia, uHigh bertekad mahu membantu pasukan SEM9 untuk berjaya dan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

"Dengan pengalaman yang saya dapat di sana mungkin boleh bantu team baru saya untuk berjaya dan mengharumkan nama Malaysia.

"Kini, saya bermain di bawah team SEM9 membuatkan saya mahu berkembang dan membawa team ini ke puncak kejayaan tidak sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram