Bukan sengaja kekal imej misteri ketika raih gangsa Sukan SEA, Dibo terasa 'kecil' dilabel Soloz versi wanita


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Dibo kekal dengan imej misteri ketika mewakili MLBB Perempuan Malaysia di Sukan SEA 2023.

PASUKAN Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) perempuan Malaysia berjaya membawa pulang pingat gangsa di Sukan SEA 2023 untuk negara.

Namun, pingat tersebut terpaksa dikongsi bersama Vietnam yang ditewaskan oleh pasukan Malaysia.

Perlawanan tersebut ditetapkan dengan pusingan Bo3 (Best of 3) dan pasukan Malaysia berjaya menewaskan Vietnam dengan skor 2-0.

Tetapi atas sebab-sebab tertentu, pasukan Malaysia terpaksa berkongsi pingat gangsa dengan pasukan Vietnam.

Pasukan MLBB Perempuan diwakili Nurul Effa Fauzana Mohd Fauzi, Vanessa Natasha Abdullah, Hanis Wahidah Mohamad Dashuki, Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi, Wan Nur Adibah Humairah Wan Hamidon, Nur Afrina Syuhada Ahmad Shaltut dan Anatasha Norman.

Bercakap pada Majoriti, salah seorang atlet perempuan MLBB Malaysia, Wan Nur Adibah Humairah atau lebih dikenali Dibo berkongsi pengalaman sebagai pemain eSports.

cpm35 2023-05-16 163631.183

Dibo bersama skuad MLBB perempuan Malaysia.

Mengimbau kembali ketika bermula melibatkan diri dalam permainan video, Dibo berkata, ia hanyalah hobi untuk mengisi masa lapang di universiti dan tidak menyangka boleh menjadikannya sebagai kerjaya.

"Selepas saya graduate, saya hanya meneruskan bermain game dan siapa sangka saya dapat mewakili Malaysia untuk bermain di Sukan SEA 2023

"Sejujurnya walaupun hanya bermain satu game, tapi saya tidak menyangka dapat impak yang sangat besar dan ia merupakan pengalaman yang paling berharga bagi saya.

"Saya rasa sangat berbangga dapat bermain membawa nama negara, dan dapat mengharumkan nama negara," katanya kepada Majoriti.

IMG_8217

Dibo bersama pingat gangsa.

Tambahnya, dia berasa bangga dengan pasukan MLBB perempuan kerana berjaya meraih pingat walaupun hanya berlatih bersama satu bulan.

"Saya rasa bersyukur, dan bangga dengan team saya, kerana kami hanya berlatih selama satu bulan sebagai satu pasukan, yang mana kami semua dari team yang berbeza dan ini juga adalah team wanita pertama untuk mewakili Malaysia dalam eSports MLBB.

"Saya percaya kami boleh mendapatkan emas di Sukan SEA akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Dibo menolak dakwaan apabila ada sesetengah penyokong menyamakan corak permainannya dengan pemain nombor satu Malaysia, Soloz atau nama sebenarnya Muhammad Faris Zakaria.

"Sejujurnya, saya rasa sangat kecil dan sangat jauh lagi dari itu, saya tak pernah merasakan yang saya boleh sampai ke tahap itu.

"Masih banyak pengalaman dan pencapaian yang saya masih belum ada, bagi saya, ini barulah permulaan kepada karier saya dalam eSport," jelasnya.

cpm35 2023-05-16 163631.733

Skuad MLBB Malaysia.

Dibo turut sempat menjelaskan kenapa dia sentiasa memakai penutup muka dan tidak pernah mendedahkan wajahnya.

"Sebenarnya ada banyak sebab kenapa saya tak menunjukkan muka, lagi-lagi bermain di atas pentas dunia.

"Saya hanya membuatnya atas sebab keselamatan diri, dan juga atas dasar agama, biarlah orang mengenali saya dengan skil saya sahaja," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram