SIRI permainan video aksi pengembaraan, Grand Theft Auto (GTA) yang diterbitkan oleh Rockstar Games boleh dilabel sebagai salah satu permainan yang sering mencetuskan kontroversi.
Sejak kemunculan pertama pada tahun 1998, GTA bukan sahaja menjadi salah satu permainan terlaris, tetapi pada masa sama juga sering mendapat perhatian berkaitan perkara negatif.
Malah, treler GTA VI yang bakal dikeluarkan pada penghujung tahun ini atau 2025 juga terpalit dengan kontroversi apabila mendapat respons kurang senang dari pelbagai pihak.
Dalam setiap permainan GTA baharu, Rockstar Games nampaknya tidak boleh menahan diri daripada tidak memberikan rempah kontroversi. Jadi, kali ini jom ketahui beberapa siri kontroversi yang melibatkan siri GTA;
BACA LAGI: Mahu bergelar streamer e-sports, bakat muda Johor jadikan Fredo sebagai idola
1) Kandungan ganas yang mencetuskan jenayah di dunia nyata
Kontroversi mengaitkan GTA sudah timbul pada kali pertama dilancarkan pada tahun 1998 namun kemuncak ia mula menjadi buah mulut dalam kalangan komuniti pada GTA III.
Hal ini kerana GTA III adalah siri GTA pertama yang menampilkan grafik 3D dan secara langsung memaparkan kandungan ganas yang mempunyai unsur eksplisit.
Bagi sesetengah orang, GTA III dilabelkan sebagai permainan yang mempunyai pengaruh buruk sehingga ia terpaksa diharamkan di beberapa negara.
Masakan tidak, beberapa perbuatan jenayah juga berlaku di sesetengah negara yang ia dianggap berinspirasikan adegan daripada permainan GTA.
Untuk makluman, GTA adalah permainan dengan rating M, ia bermaksud permainan berkenaan hanya boleh dimainkan oleh mereka yang berumur 17 tahun ke atas.
2) Adegan 'Kopi Panas' dalam GTA: San Andreas mencetuskan kontroversi luar biasa
Salah satu adegan dalam dalam GTA: San Andreas.
GTA: San Andreas adalah salah satu permainan terbaik sepanjang masa tetapi siri berkenaan mempunyai sejarah kontroversi yang mungkin tidak akan dilupakan oleh pemain.
Kontroversi yang dimaksudkan ialah adegan 'Kopi Panas' kerana ia mengandungi adegan tidak sesuai dan tidak senonoh kepada masyarakat khususnya untuk para pemainnya.
'Kopi Panas' sebenarnya dikeluarkan oleh Rockstar, namun mereka menyembunyikan adegan itu daripada dimainkan oleh peminat permainan siri GTA: San Andreas.
Bagaimanapun, pada 2005, salah seorang pemain berjaya mencari jalan untuk membuka adegan ini dengan mod yang dipanggil "Hot Coffee Mod" sehingga mencetuskan bantahan besar daripada ibu bapa.
Tidak ingin masalah terus berlaku, Rockstar akhirnya memutuskan untuk menaikkan rating permainan ini kepada Dewasa Sahaja (AO).
3) Satu siri kontroversi dalam GTA V
Beberapa tuduhan timbul pada pelancaran GTA V, bermula daripada dakwaan seksisme, kebencian terhadap perempuan, adegan penyeksaan yang dilakukan oleh salah seorang karakter, Trevor. Selain ada juga adegan kewujudan haiwan yang boleh dibunuh dalam permainan.
GTA V turut disaman oleh Lindsay Lohan. Selebriti terkenal Hollywood itu menyangka bahawa Rockstar sudah mengambil gambarnya dan digunakan tanpa kebenaran, namun saman itu akhirnya ditolak oleh mahkamah.
BACA LAGI: Kenali ePiala Asia, medan perjuangan skuad eRimau setanding Harimau Malaya
4) GTA Trilogy: The Definitive Edition mendapat respons negatif daripada pemain
Jika kontroversi lain melibatkan pihak lain tetapi di GTA Trilogy: The Definitive Edition meraih maklum balas kurang senang daripada peminat sendiri.
GTA Trilogy: The Definitive Edition ialah versi remaster dari tiga tajuk GTA yang dikeluarkan pada era permainan konsol, Playstation 2.
Dengan meningkatkan kualiti grafik dan audio, permainan ini telah dikritik oleh peminat dan pengkritik. Secara umumnya, mereka berpendapat bahawa ini hanyalah helah Take Two sebagai penerbit untuk mengaut keuntungan.
Masalahnya adalah, GTA Trilogy: The Definitive Edition sebenarnya mengandungi banyak masalah dan salah satunya termasuk isu ketika permainan dimainkan.
5) Treler GTA VI yang memaparkan parodi Joker Florida
Tangkap layar Joker Florida muncul dalam treler GTA VI.
Treler GTA VI yang baru sahaja dikeluarkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas turut tidak lari daripada mencetuskan kontroversi di media sosial.
Salah satu kontroversi yang dibicarakan oleh pelbagai pihak adalah tentang adegan seorang wanita menari di atas kereta.
Bukan itu sahaja, kelibat Joker dari Florida, Amerika Syarikat, yang parodinya muncul dalam treler juga dilaporkan memfailkan saman terhadap Rockstar Games.
Adalah diketahui bahawa hampir semua adegan dalam treler GTA VI mengambil rujukan kepada peristiwa di dunia nyata. Salah satunya ialah kemunculan Florida Joker.
Dalam kehidupan sebenar, terdapat seseorang bernama Lawrence Sullivan yang dikenali sebagai penjenayah dari Florida yang berpakaian seperti Joker.
Walaupun ia sentiasa menimbulkan kontroversi, siri GTA terbukti kekal sebagai salah satu permainan paling berjaya sepanjang zaman. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram