Padah tunjuk jari tengah, pemain e-sport terkenal Indonesia digantung 2 perlawanan


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

Sebahagian momen pasukan gergasi Indonesia, Geek Fam ketika berdepan Deus Vult. — Agensi

KEJOHANAN Dunia Siri Ke-5 (M5) Mobile Legends Bang Bang (MLBB) untuk tahun 2023 yang disertai oleh pasukan ternama di serata dunia membuka tirai pada 2 Disember lalu yang berlangsung di Manila, Filipina.

Filipina yang juga merupakan tuan rumah musim ini sudah bergelar tiga kali juara dalam kejohanan tersebut.

Dua wakil negara, pasukan HomeBois dan Team SMG turut bertanding dalam kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, ketika kejohanan itu berlangsung, satu insiden menggemparkan terjadi yang melibatkan salah satu pemain pasukan gergasi Indonesia, Geek Fam melakukan aksi menunjukkan isyarat lucah ketika memenangi perlawanan menentang pasukan Deus Vult wakil dari Rusia.

WhatsApp Image 2023-12-06 at 12.45.54

Tangkap layar aksi tersebut. — Agensi

Difahamkan, pemain yang bernama Manuel Simbolon atau dikenali sebagai Nnael selaku 'Jungler' pasukan Geek Fam itu menunjukkan jari tengah ketika meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan dari Rusia itu dengan skor 2-1.

Tindakan Nnael itu dianggap mahu membalas dendam terhadap pemain Deus Vult yang menjerit-jerit ke arah mereka setelah Geek Fam tewas di perlawanan kedua.

Bagaimanapun, tindakan Nnael itu akhirnya mengundang padah dan dianggap melebihi batas sehingga dia dihukum dengan penggantungan dua perlawanan yang diumumkan oleh pihak MLBB di laman rasmi Instagram, MLBB Esport Official. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram