PEMAIN e-sukan negara, Muhammad Luqman Haziq Hajiman atau lebih dikenali sebagai LuqmanHzq akhirnya membuat memutuskan untuk kembali semula ke komuniti sukan itu setelah hampir setahun hiatus dari arena e-Sukan tanah air.
Luqman Haziq merupakan seorang pemain profesional permainan video Fifa yang tidak usah diperkenalkan lagi namanya terutamanya selepas dia sudah mencapai pelbagai trofi seperti Piala Kejohanan Fifa Ultimate Team (FUT) 2018 dan juara Fifa Global Series East Asia Qualifier 3.
Lebih menarik sebelum memutuskan untuk berehat dari e-sukan, Luqman Haziq bersama Ahmad Akmal Abd Rafil (AkmalJHD) dari pasukan GBX Esports Team menjadi wakil tunggal negara ke Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022.
Perlawanan yang berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 20 hingga 23 Julai 2022 menyaksikan pasukan dibantu oleh gergasi Liga Super iaitu Johor Darul Takzim (JDT) sebagai penaja itu menamatkan perjalanan mereka di pusingan 16 terakhir.
Dengan pencapaiannya di peringkat antarabangsa itu, tidak hairanlah jika ramai penggemar e-sukan teruja untuk melihat pemain berusia 26 tahun tersebut kembali memeriahkan pelbagai kejohanan musim ini.
Menurut Luqman Haziq, pencapaian Lionel Messi yang berhasil merangkul trofi kejohanan akhir Piala Dunia Fifa 2022 di Qatar bersama Argentina memberi inspirasi kepadanya untuk bergiat aktif semula.
Luqman Haziq ketika melihat trofi Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022. — Instagram/LuqmanHzq
"Banyak faktor yang buat saya rasa nak comeback tapi saya rasa faktor terbesar masa Messi menang Piala Dunia tahun lepas. Messi pemain yang sangat berjaya tapi dia comeback untuk rebut trofi Piala Dunia. Saya rada terinspirasi.
"Walaupun dah capai macam-macam dalam FIFA Esport, saya tiada trofi untuk FIFAe Club World Cup lagi. Pusingan 16 pada tahun lepas dah pencapaian terbaik tapi saya rasa tak cukup. Nak juga menang trofi. Jadi ambil masa setahun untuk putuskan untuk comeback.
"Dalam masa setahun saya rasa banyak saya improved. Saya harap dapat melahirkan banyak bakat, kita tak banyak bakat baru untuk Fifa, saya harap dapat bantu cari. Nak jadi mentor. Harap itu saya dapat capai untuk FC24," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, FC24 adalah edisi baharu yang dikeluarkan oleh EA Sports FC yang mana akan memberi pengalaman permainan video yang nyata dalam The World's Game dan menampilkan perlawanan, kelab dan bintang ternama dalam sukan bola sepak.
Luqman Haziq (tiga dari kanan) juga berjaya meraih pingat Gangsa di acara Sukan Sea Hanoi 2021 menerusi sukan FIFA Online 4. — Instagram/LuqmanHzq
Dalam pada itu, bercakap mengenai pasukan baharunya, Luqman Haziq memberi petunjuk bahawa ia adalah pasukan gergasi dalam arena e-sukan tanah air dan pastinya kelab tersebut dipilih kerana mempunyai matlamat sama sepertinya.
"Saya dah sign dengan satu pasukan gergasi di Malaysia. Pasukan baru ni memang sinonim dengan saya. Sebelum saya berehat, saya ada bekerjasama dengan mereka sekejap. Lepas saya berbincang dengan mereka, saya berpuas hati dengan matlamat mereka, selari dengan saya," jelasnya.
Berdasarkan khabar angin yang mula bertebaran dalam kalangan komuniti, Luqman Haziq dikaitkan akan bersatu semula dengan pasukan JDT|GBX susulan kelab itu juga sebelum ini pernah menyiarkan hantaran mengenai dalam misi mencari pemain dan jurulatih baharu untuk musim 2023/24. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram