[VIDEO] Bola padu sangat, ‘pecah’ muka ‘keeper’ sampai runtuh gol


  • Podium
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Detik di mana bola singgah di muka Diego Roncaglio pada kelajuan tinggi. — Agensi

KERANCAKAN bola sepak sememangnya menghiburkan. Pertarungan antara 22 pemain saling menyerang untuk memastikan pintu gol lawan berjaya dibolosi.

Sepanjang 90 minit, ia akan menghasilkan drama sehebatnya untuk tontonan jutaan penonton yang berada di seluruh dunia.

Tetapi sukan futsal juga apa kurangnya, ia tetap menghadirkan hiburan dan akan memaksa adrenalin sesiapa yang melihatnya akan bergerak cukup pantas.

Kelajuan dan futsal tidak dapat dipisahkan, dengan saiz gelanggang yang jauh lebih kecil berbanding bola sepak, sukan tersebut sentiasa pada tempo tinggi.

Elemen kelajuan itu bukan sekadar dari segi pergerakan pemain tetapi bola juga. Bola yang dihalakan ke pintu gol semuanya akan disertakan dengan sepakan padu yang mampu menjadi igauan penjaga gol.

Igauan tersebut menjadi nyata ketika Copa America de Futsal. Dalam pertemuan antara dua musuh tradisi iaitu Argentina dan Brazil di separuh akhir, kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk mara ke peringkat akhir.

Selepas perlawanan terikat 3-3, pemenang harus dicari menerusi penentuan sepakan penalti. Dalam situasi ini, penyepak lazimnya akan memberikan rembatan padu yang terlalu sukar ditepis penjaga gol atau golero.

Satu kejadian luar biasa berlaku apabila penjaga gol Brazil, Diego Roncaglio apabila dia menyelamatkan bola rembatan Lucas Bolo tetapi tidak menggunakan tangan atau kaki sebaliknya dengan muka.

BACA LAGI: Pacak pentas gergasi tengah padang, Ed Sheeran sekali lagi jadi punca rumput SNBJ ‘koyak rabak’, Hans Isaac tolong standby jawapan siap-siap

BACA LAGI: 'Fahami derita pemain', CEO PFAM mahu kerjasama FAM-MFL semakin kuat lawan isu tunggakan gaji

Bola yang disepak Bolo menghala terus ke muka Roncaglio yang kemudiannya membuatkan penjaga gol tersebut hilang imbangan diri lalu terjatuh ke belakang gol.

Lebih memeritkan, selepas bola terkena muka pada kelajuan tinggi, gol yang dijaga Roncaglio kemudiannya runtuh seterusnya menyebabkan papan iklan di belakangnya turut terjatuh.

Mujur buat penjaga gol itu, dia kemudiannya dapat meneruskan permainan namun tidak dapat menghalang Brazil daripada kalah 1-2 dalam penentuan sepakan penalti sekali gus gagal ke perlawanan akhir.

Argentina berjaya ke perlawanan akhir dan muncul juara selepas menewaskan Paraguay 1-0. Sementara Brazil merangkul tempat ketiga apabila menang 3-0 ke atas Colombia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram