PERSIAPAN Terengganu FC untuk musim baharu dilihat berjalan dengan baik apabila skuad telah mula menjalani latihan.
Keterujaan jelas terpancar dalam kalangan penyokong apabila mereka berjaya membawa masuk pemain-pemain handalan seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid serta Akram Mahinan.
Sejak penyokong dibenarkan untuk menyaksikan secara dekat sesi latihan, penyokong Terengganu dilihat sentiasa mendekati pusat latihan kelab di Gong Badak untuk melihat lebih dekat dengan pemain kegemaran mereka.
Rata-rata penyokong teruja untuk melihat aksi pemain seperti Safawi dan Akhyar. Ditambah pula dengan saingan liga hanya bermula pada Mei, ia membuatkan penyokong membanjiri padang latihan.
Safawi nyata mencuri tumpuan apabila dia menunjukkan kemampuannya dengan menghasilkan penyudah berkesan dalam perlawanan latihan di hadapan penyokong yang hadir.
Dalam perlawanan latihan yang diadakan, skuad Terengganu memecahkan skuad mereka kepada dua pasukan iaitu biru dan hijau.
BACA LAGI: Kembali ke Penang, Sikh Izhan bagi mesej 'simple' tunjuk semangat berkobar
BACA LAGI: [VIDEO] Bola padu sangat, ‘pecah’ muka ‘keeper’ sampai runtuh gol
Ketika perlawanan latihan itu, kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 2-2. Apa yang menariknya, dua gol yang dihasilkan adalah menerusi Safawi.
Selain daripada Safawi, dua gol lagi dihasilkan oleh Nik Sharif Haseefy serta penyerang import baharu iaitu Ishamheel Akinade.
"Safawi telah kembali," kata penyokong bernama Nuruddin Deen.
"Kemah keming Safawi," ujar Zillzal Abu Bakar.
"Bisa Safawi masih ada," komen Che Sallehudin pula.
Di saat ramai yang kagum dengan ketajaman Safawi di depan gol, timbul kerisauan dalam kalangan penyokong apabila kelibat penyerang import tidak kelihatan.
Ketiadaan Ivan Mamut dalam koleksi gambar perlawanan latihan itu telah menimbulkan kerisauan penyokong. Ke manakah penyerang import itu pergi?
"Ke mana Ivan Mamut? Jadi pengadil ke?," kata penyokong bernama Hafiz Helmi.
"Tak kisahlah sama ada hijau ke biru, tapi mana Ivan Mamut? Tak nampak batang hidung pun," kata Mujahideen Kurtis.
Kehilangan Mamut nyata menjadi tanda tanya penyokong kerana sekiranya ketiadaannya adalah disebabkan kecederaan, ia pasti merencatkan persiapan kelab untuk musim baharu.
Sudah pasti, soal kecederaan adalah perkara yang perlu dielakkan kerana jika Mamut cedera, Terengganu kehilangan penyerang utama mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram