Dikhabar tinggalkan The City Boys, duo beradik mungkin ikut jejak Romel Morales ke Selatan?


  • Podium
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Selain Haqimi Azim (kiri), KL City FC dijangka akan kehilangan duo beradik musim depan. — Instagram/qimirosli

KEM pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC terus bertiup kencang apabila menerima khabar kurang gembira selepas dijangka bakal kehilangan penyerang muda skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Haqimi Azim Rosli menjelang musim 2024/25.

Difahamkan, Haqimi Azim akan melebarkan sayapnya bersama Selangor FC menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula.

Bukan sahaja kehilangan penyerang muda tersebut, nama duo beradik KL City FC, Ryan Lambert dan Declan Lambert turut mencuri tumpuan peminat The City Boys selepas dilihat mahu mengambil haluan baharu.

BACA LAGI: Tengah nego baik punya, 'striker' muda KL City FC bakal sarung jersi Merah Kuning?

Ryan dan Declan

Ryan Lambert dan Declan Lambert merupakan pasangan kembar yang dijangka akan meninggalkan The City Boys. — Facebook

BACA LAGI: 'Bukan 4 tapi cuma 2 bulan gaji tertunggak' — Khalid Samad

Perkara tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran di laman X yang mendedahkan bahawa duo beradik tersebut bakal meninggalkan The City Boys.

"Difahamkan bahawa kembar Lambert - Ryan dan Declan - mungkin akan berpindah dari Kuala Lumpur.

"Difahamkan bahawa destinasi seterusnya mereka mungkin ke Selatan," ciapnya.

Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, terdapat beberapa peminat mengatakan bahawa kelab Selatan yang dimaksudkan tersebut adalah Johor Darul Takzim (JDT).

Bagaimanapun, selain pasukan Harimau Selatan yang dipetik, terdapat juga penyokong berasakan kelab Selatan tersebut berkemungkinan adalah Melaka United dan Negeri Sembilan FC.

Untuk rekod, Ryan dan Declan masing-masing sudah merekodkan 45 dan 41 penampilan dalam saingan Liga Super dan menyumbang masing-masing empat dan satu gol untuk skuad The City Boys.

Bersama The City Boys, Ryan dan Declan membantu KL City mara ke final Piala AFC musim 2022 dan final Piala FA pada 2023.

Susulan berita tersebut, KL City dilihat akan terus berputih mata berikutan kehilangan Azim Al Amin Kamaruddin, Akram Mahinan, Romel Morales dan Tchetche Kipre yang sah meninggalkan pasukan itu sebelum ini.

Sementara itu, dua pemain muda berbakat, T Saravanan dan Haqimi Azim juga dilaporkan semakin hampir melengkapkan perpindahan ke pasukan baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram